Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal menyampaikan cek sumbangan Kerajaan Negeri Pahang bernilai RM50,000

BAKAT ANAK MUDA DAPAT DIGILAP MELALUI AKADEMI PAHANG RANGERS

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 20 JUN 2023 : Bakat anak muda dalam bidang futsal di negeri ini dapat digilap dan diasuh sejak awal melalui Akademi Pahang Rangers.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal berkata Kerajaan Negeri Pahang melihat akademi ini dapat membantu dari segi pembangunan futsal di Pahang.

“Saya nampak banyak bakat-bakat anak muda yang kalau digilap, mereka boleh pergi jauh (dalam futsal). Dan kita ada jurulatih yang ditaja oleh Pahang Rangers ini, saya rasa boleh ketengahkan bakat-bakat ini ke peringkat yang lebih tinggi.

“Kita tahu sukan futsal turut menarik minat anak muda di seluruh Pahang sebab Pahang Rangers sendiri telah berjaya mencipta kejayaan di peringkat nasional, jadi ia secara tidak langsung telah menarik minat anak muda,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan cek sumbangan Kerajaan Negeri Pahang bernilai RM50,000 kepada Akademi Pahang Rangers bagi menyokong program pembangunan futsal serta pencarian bakat baru dalam sukan berkenaan di Taman Gelora, semalam.

Turut hadir, Setiausaha Agung Pahang Rangers, Cik Mutiara Bahir; dan Pengurus Pasukan Pahang Rangers FC, Encik Muhammad Syahir Ab Aziz.

Menurut beliau lagi, penyertaan peserta berusia 6 tahun sehingga 16 tahun ini merupakan satu permulaan yang baik kepada pembangunan sukan futsal di negeri ini.

“Ini kerana kalau di negara maju memang sejak awal usia mereka telah terlibat dengan sukan. Jadi kalau dibawah umur 6 tahun telah terlibat dengan futsal, maknanya kita boleh melahirkan ramai bakat yang boleh diketengahkan dan boleh berjaya.

“Saya rasa dengan disiplin yang baik, fokus kepada latihan, mereka ini boleh pergi lebih jauh dalam sukan ini,” katanya.

Beliau sebelum itu telah menyampaikan cek Kerajaan Negeri Pahang kepada remaja Orang Kurang Upaya (OKU) berbakat besar dalam sukan Futsal, Muhamad Amar Senin, di Kampung Selamat di sini. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram