YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika menyampaikan sumbangan Pahang Pride Kasih kepada seorang penerima pada Majlis Penyerahan Kad Kesihatan Pahang Pride Kasih 2023 di Dewan Tun Razak, di Temerloh

PAHANG PRIDE KASIH DIPERLUAS KEPADA GOLONGAN OKU

Oleh: Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

TEMERLOH, 19 JUN 2023 : Peruntukan Pahang Pride Kasih yang dinaikkan daripada RM10 juta kepada RM20 juta pada tahun ini diperluaskan kepada golongan Orang kurang upaya (OKU).

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, inisiatif melibatkan lebih 40,000 orang penerima di seluruh negeri ini menggunakan data daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika menyampaikan sumbangan Pahang Pride Kasih kepada seorang penerima pada Majlis Penyerahan Kad Kesihatan Pahang Pride Kasih 2023 di Dewan Tun Razak, di Temerloh

“Kita masukkan OKU dalam program Pahang Pride Kasih ini, jadi mereka juga boleh ke klinik-klinik panel di seluruh negeri Pahang tanpa perlu bersesak atau beratur lama di klinik atau hospital kerajaan bagi kes-kes kesihatan ringan atau mendapatkan ubat-ubatan.

“Program ini akan ditambah (peruntukan) dari setahun ke setahun, maknanya jika ada yang tak dapat, InsyaAllah tahun depan mereka dapat seperti tahun ini di mana peruntukan dinaikkan sekali ganda kepada RM20 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kad Kesihatan Pahang Pride Kasih 2023 di Dewan Tun Razak, di sini.

Turut hadir YB Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin, Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato Sabariah Saidan serta Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pahang, YH. Dato’ Zulkhairi Zainol Abidin.

Hadir sama Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Johari Harun, Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal serta Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Tuan Ir Razali Kassim.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

Sementara itu, beliau berkata, jumlah klinik yang terlibat masih kekal 70 buah di seluruh negeri dan had peruntukan dalam setiap kad juga masih RM500 bagi setiap penerima.

“Ada (penerima) yang tak habis pakai (RM500), tapi setakat ini kita tak terima apa-apa aduan berkenaan penggunaan kad yang telah diberikan.

“Kita akan menambahbaik segala apa yang perlu kerana apa yang kita lakukan kena ada nilai tambah termasuk penggunaan aplikasi bagi memudahkan penerima memeriksa baki yang ada dalam kad mereka selepas setiap kali digunakan,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram