DANA I-PUSH DIKREDIT MULAI ISNIN INI SECARA BERPERINGKAT
KUANTAN, 17 JUN 2023 : Kerajaan Pahang memberi jaminan bahawa penyaluran dana Skim I-PUSH Fasa ke-2 akan dikreditkan mulai 19 Jun 2023 (Isnin) kepada penerima-penerima yang telah selesai menandatangani perjanjian pembiayaan.
YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Indera Haji Zulkifli Haji Yaacob berkata, seramai 515 orang pemohon yang berjaya telah selesai menandatangani perjanjian dengan pihak Bank Muamalat selaku agensi yang akan menyalurkan skim pembiayaan ini.
“Sebanyak 2,415 permohonan diterima dan daripada jumlah itu 1,553 orang pemohon telah berjaya melepasi kesemua tapisan ini termasuk tapisan bawah Anti-Money Laundering, Anti-Terrorism Financing and Proceeds of Unlawful Activities Act 2001 (Akta 613) dan surat kelulusan telah dikeluarkan pada 2 Mei 2023.
“Justeru saya menyeru kepada semua pemohon yang berjaya untuk menandatangani perjanjian dengan kadar yang segera,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Katanya lagi, pemohon Skim I-PUSH boleh merujuk portal rasmi https://smu.pahang.gov.my bagi mendapatkan maklumat lanjut.
“Kerajaan Negeri Pahang akan terus komited membantu usahawan-usahawan bagi menjamin kesejahteraan Rakyat Pahang,” katanya. – PAHANGMEDIA