Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 17 JUN 2023 : Tahfiz TVET yang turut dikenali sebagai Program Tahfiz Mahir Yayasan Pahang telah membuka lembaran baru dalam bidang pendidikan kemahiran yang turut menjamin peluang pekerjaan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, program pertama di Pahang ini merupakan satu permulaan positif untuk memperluaskan lagi bidang kemahiran dalam kalangan penuntut-penuntut tahfiz.
“Ia sebagai platform jaminan kerjaya di masa hadapan dengan memberi peluang latihan yang jelas dan diiktiraf di peringkat nasional.
“Bertepatan dengan itu lah, menerusi Belanjawan Pahang 2023, Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan RM1 juta vagi pembangunan institusi latihan kemahiran baharu Maahad Tahfiz TVET di Penor bagi melahirkan tenaga kerja mahir dengan kapasiti 100 orang pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Konvokesyen dan Pentauliahan Kemahiran Malaysia KYP Advanced Skills 2023 di Dewan Majlis Bandaraya Kuantan, di sini.
Seramai 290 orang graduan di mana 154 orang dari Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) seramai 136 orang yang menerima Pentauliahan Kemahiran Malaysia, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah KYP Advanced Skills, Dato’ Dr Haji Ahmad Munawar Abd Jalil.
Dalam pada itu beliau berkata, pencapaian pelajar dan graduan Kolej Yayasan Pahang Advanced Skills membuktikan bahawa institusi tersebut mampu melahirkan insan berkualiti tinggi dari pelbagai aspek.
“Saya bangga dengan pencapaian-pencapaian yang telah dicapai oleh Kolej Yayasan Pahang Advanced Skills, melalui dana Yayasan Pahang melatih 3,470 orang pelatih program jaminan kerjaya dalam sektor minyak dan gas, perkapalan dan pelabuhan seterusnya memastikan mereka memperoleh pekerjaan dan pendapatan tinggi.
“Selain itu, kepakaran tenaga pengajar KYP Advanced Skills dalam melatih pelajar-pelajar Sijil Kemahiran Malaysia sehingga berjaya mewakili Malaysia ke World Skills Asia yang ajan datang, memenangi pingat perak di IKA Culinary Olympics di Stuttgart, Germany selain merangkul 20 pingat di Pertandingan Kulinari Battle Of The Chef Penang serta 14 pingat untuk pertandingan Malaysia Culinary World Cup 2023.
Katanya lagi, anugerah “The Most Admired TVET Training Provider in Malaysia” yang diterima Kolej Yayasan Pahang Advanced Skills pada tahun lalu amat tepat di atas semua pencapaian yang dihasilkan. -PAHANGMEDIA