Oleh: Fairus Mohd
BERA, 16 JUN 2023 : Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Begitulah luahan penerima bantuan Pahang Pride Kasih yang amat bersyukur dengan usaha Kerajaan Negeri Pahang yang tidak putus-putus berusaha meringankan beban mereka.
Bagi ibu tunggal yang juga OKU dari Taman Kerayong Indah, Puan Salmy Churaimy, 42, hanya linangan air mata yang dapat menggambarkan rasa syukur dirinya terhadap semua bantuan yang diterima.

“Terima kasih sangat-sangat kepada Kerajaan Negeri Pahang kerana banyak bantu, kalau kata Kerajaan Negeri tak bantu contohnya macam saya ni, seorang ibu tunggal dan ada sakit kronik.. tak dapat apa-apa lah.
“Inisiatif MB ini sangat bagus, saya terharu atas keprihatinan Menteri Besar Pahang dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guai terhadap rakyat seperti kami semua.
Terima kasih sekali lagi atas semua bantuan yang diterima, saya bersyukur sangat-sangat,” katanya sebak.
Penghargaan turut disampaikan warga emas Encik Abdul Rahim Hassan, 64, yang bersyukur kerana menerima bantuan dari sudut keperluan kesihatan melalui kad Pahang Pride Kasih.

“Saya pernah terima kad (Pahang Pride Kasih) sebelum ini dan tak sangka ia diteruskan lagi pada tahun ini. Saya dapat ambil ubat di klinik-klinik yang telah ditetapkan
“Saya berterima kasih kepada Menteri Besar Pahang di atas pemberian kad bernilai RM500 untuk digunakan tahun ini. Kalau boleh teruskanlah pada tahun-tahun akan datang kerana ia benar-benar meringankan beban kami,” katanya.
Seorang lagi penerima kad dari golongan OKU, Encik Mohamad Syafik Saadan, 31, turut berterima kasih di atas pemberian kad bagi kemudahan mendapatkan ubat-ubatan.

“Sebelum ini kalau demam sikit-sikit pun kena pergi Hospital Bera ambil ubat, jadi kad ini memudahkan saya dapat ubat di klinik yang dekat dengan rumah.
“Terima kasih Kerajaan Negeri Pahang, Menteri Besar Pahang dan YB kerana bagi kad ini kepada saya,” katanya. -PAHANGMEDIA