Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato' Sabariah Saidan ketika menyampaikan Kad Kesihatan Warga Emas di Dewan Orang Ramai Kampung Durian Tawar, di Bera

PERUNTUKAN PAHANG PRIDE KASIH BERGANDA TAHUN INI

Oleh: Fairus Mohd

BERA, 16 JUN 2023 : Peruntukan Pahang Pride Kasih dinaikkan daripada RM10 juta kepada RM20 juta pada tahun ini melibatkan lebih 40,000 orang penerima di seluruh negeri.

Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato Sabariah Saidan berkata, inisiatif pemberian kad kesihatan itu juga diperluaskan kepada penerima daripada senarai permohonan Pejabat ADUN.

“Pada tahun lalu kita beri kad kesihatan ini kepada penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di bawah Skim Bantuan Warga Emas dan Bantuan OKU Tidak Bekerja.

“Sebanyak 70 buah klinik panel telah dilantik dari seluruh negeri Pahang bagi urusan penggunaan kad tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis penyampaian Kad Kesihatan Warga Emas atau Pahang Pride Kasih kepada penerima di Dewan Orang Ramai Kampung Durian Tawar, di sini.

Sementara itu beliau berkata, bagi Daerah Bera seramai 366 orang penerima Skim Bantuan OKU Tidak Bekerja dan 382 orang penerima dari Skim Bantuan Warga Emas.

“Daripada jumlah berkenaan seramai 275 orang penduduk di DUN Guai tersenarai sebagai penerima manfaat Kad Kesihatan yang diedarkan hari ini.

“Terima kasih YAB Menteri Besar Pahang di atas inisiatif yang amat baik untuk rakyat di negeri ini dan saya selaku wakil rakyat turut berkongsi rasa syukur dan gembira di atas keprihatinan Kerajaan Negeri,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

This will close in 0 seconds