Naib Presiden UMNO, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

10 ‘WARLORD’ UMNO SERTAI PN HANYA KHABAR ANGIN

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 14 JUN 2023 : Dakwaan berhubung 10 ‘warlord’ UMNO bakal menyertai Perikatan Nasional (PN) sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi hanyalah khabar angin semata-mata.

Naib Presiden UMNO, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail meminta agar orang ramai tidak mempercayai khabar angin tersebut yang kini tersebar di laman-laman sosial.

“Semua orang boleh cakap 10, lima atau tiga ‘warlord’ sertai PN.

“Kita kena faham, ini politik, ada PRN ni macam-macam buat cerita, entah betul atau tidak, kemudian kita pula mewar-warkan cerita yang belum sahih itu, sampai masa kita hadapilah.

“Jadi jangan percayalah, kita ‘move forward’, ‘move on’,” katanya.

Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata demikian ketika ditemui selepas melawat adik Muhammad Athif Fahri Mohd Farhan berusia setahun empat bulan yang menghidap penyakit Spinal Muscular Atrophy (SMA) Type 1 di Permatang Badak Maju, di Kuantan, hari ini.

Beliau dalam masa sama turut menafikan tentang khabar angin salah seorang ‘warlord’ UMNO terbabit adalah dari negeri ini. Tiada, saya tiada dengar cerita,” ujarnya ringkas.

Kelmarin, PN dikatakan akan mengumumkan senarai 10 warlord merangkumi individu yang disisihkan Umno untuk menyertai parti dalam gabungan itu dalam masa terdekat.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata ketika ini barisan kepimpinan gabungan parti sedang memuktamadkan urusan itu.

Dalam pada itu, beliau berkata, UMNO Pahang telah membuat persediaan awal untuk membantu dua negeri angkat pada PRN nanti di mana Kelantan dan Terengganu berada di bawah kendalian UMNO Pahang.

“Kita dah buat persediaan awal dengan berjumpa ketua-ketua bahagian, pengerusi perhubungan, kita berbincang apa yang patut kita buat, apa yang patut kita bantu, kita ini sekadar membantu sahajalah dan mereka lebih tahu daripada kita masalah negeri mereka,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

This will close in 0 seconds