YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan sumbangan kepada ibu dan bapa adik Muhammad Athif Fahri Mohd Farhan.

TERIMA KASIH KERAJAAN PAHANG, RAKYAT MALAYSIA – BAPA ADIK ATHIF

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 14 JUN 2023 : Ibu dan bapa kepada Muhammad Athif Fahri Mohd Farhan, 16 bulan, melahirkan rasa syukur dan gembira kerana akhirnya proses rawatan untuk anak bongsu mereka dapat diteruskan.

Bapa adik Athif, Encik Mohd Farhan Mohd Sait, 35, berkata, beliau bersama isteri, Puan Nur Azizah Zamri, 33, amat berterima kasih kepada semua pihak yang membantu merealisasikan kutipan dana dengan jumlah kutipan terkini adalah RM9.4 juta dalam tempoh sebulan yang dilaksanakan oleh Yayasan Misi Rakyat.

“Alhamdulillah, sekali lagi kami berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang kerana memberi jaminan untuk melengkapkan baki dana dalam RM300,000 lagi untuk dana perubatan Athif, insyaaAllah atas usaha pihak kerajaan ini, proses pembelian ubat itu akan lebih cepat, terima kasih Kerajaan Pahang.

“Terima kasih sangat kepada rakyat Pahang, rakyat Malaysia, Yayasan Misi Rakyat, pihak UIAM Kuantan, pihak PPUM dan semua rakyat Malaysia yang terlibat dalam kutipan dana pembelian ubat adik Athif ini,” katanya.

Encik Mohd Farhan Mohd Sait, 35, berkata, beliau bersama isteri, Puan Nur Azizah Zamri, 33.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di kediamannya di Permatang Badak Maju, di sini selepas dikunjungi YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

Menurut Mohd Farhan, proses rawatan seterusnya akan dapat dijalankan dalam tempoh sebulan selepas ubat Genetik Zolgensma ditempah tidak lama lagi.

Adik Athif kini bergantung sepenuhnya kepada alat bantuan pernafasan apabila keadaan kesihatannya semakin merosot.

“Cuma kadang-kadang tu oksigen drop, kadang biru sebab semakin hari semakin lemah, otot dia semakin lemah, jadi pernafasan dia agak kuranglah, air liur yang tersekat di tekak memang akan menghalang oksigen.

“Kita berharap sangatlah agar dipercepatkanlah urusan untuk pembelian ubat itu,” katanya.

Jelas Mohd Farhan, beliau bersama isterinya telah dimaklumkan tentang prosedur operasi sepanjang proses pemberian ubat yang akan dijalankan nanti bagi memastikan keadaan adik Athif dijaga rapi.

Beliau dan isteri sangat berharap agar adik Athif dapat membesar dengan normal dan sihat sepertimana kanak-kanak lain.

Sehingga kini, adik Athif bergantung kepada pengambilan ubat setiap hari dengan kos RM40,000 sebotol dan telah mendapat sumbangan daripada pelbagai pihak dan kini memasuki botol kelapan.

Keprihatinan Kerajaan Pahang di bawah kepimpinan YAB Menteri Besar Pahang yang memberi jaminan untuk menanggung baki kos dana pembelian ubat Genetik Zolgensma bernilai RM9.7 juta itu dapat dipercepatkan bagi proses rawatan adik Athif. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

This will close in 0 seconds