YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika menziarahi adik Muhammad Athif Fahri Mohd Farhan yang menghidap penyakit Spinal Muscular Atrhopy Type 1 (SMA1) di Taman Permatang Badak Maju, Kuantan

KERAJAAN PAHANG BERI JAMINAN TANGGUNG BAKI KOS PERUBATAN ADIK ATHIF

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 14 JUN 2023 : Kerajaan Pahang hari ini memberi jaminan untuk menanggung baki kos perubatan adik Muhammad Athif Fahri Mohd Farhan berjumlah RM300,000 daripada keseluruhan kos RM9.7 juta untuk pembelian ubat Genetik Zolgensma.

Ubat berkenaan adalah bagi menghentikan proses kemerosotan fungsi otot yang terjejas akibat Spinal Muscular Atrhopy Type 1 (SMA1).

Adik Muhammad Athif Fahri Mohd Farhan

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail telah mengumumkan sendiri jaminan oleh Kerajaan Negeri itu kepada bapa dan ibu adik Athif, Encik Mohd Farhan Mohd Sait, 35 dan Puan Nur Azizah Zamri, 33, di kediaman mereka di Taman Permatang Badak Maju di sini hari ini.

“Saya memberi jaminan di sini, kekurangan RM300,000 ini, sebab itu saya minta untuk terus ambil tindakan pergi berubat, kalau katalah tidak dapat RM300,000 lagi, Kerajaan Negeri akan tanggung, ini jaminan saya komitmen Kerajaan Negeri,” katanya.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan kunjung ziarah ke atas adik Athif dan keluarganya, hari ini.

Hadir sama ialah Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato Sabariah Saidan dan Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal.

Ketika kunjungan itu, beliau turut menyatakan harapan agar adik Athif yang kini berusia 16 bulan dapat sembuh sepenuhnya daripada penyakit Spinal Muscular Atrhopy Type 1 (SMA1).

“Saya sangat bersimpati terhadap nasib dan kesakitan beliau, dan sejujurnya saya sedaya upaya untuk membantu setiap lapisan rakyat terutamanya dalam mengambil berat tentang kebajikan masyarakat di negeri Pahang ini,” katanya.

Kutipan dana telah dilancarkan oleh Yayasan Misi Rakyat dan berjaya mengumpul sebanyak RM9.4 juta dalam tempoh sebulan.

Sebaik sahaja dana kutipan mencukupi, anak bongsu daripada tiga beradik ini akan menjalani rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan perlu menerima suntikan ubat Genetik Zolgensma sebelum usianya mencapai dua tahun. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram