YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail hadir pada Majlis Santunan Kasih YAB Menteri Besar Pahang Bersama Pegawai dan Kakitangan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang yang diadakan di Dewan Kediaman Rasmi Menteri Besar Pahang di sini semalam.

KELAB KELUARGA DAN KEBAJIKAN JABATAN BELIA DAN SUKAN PAHANG TERIMA SUMBANGAN RM50,000

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 14 JUN 2023 : Kelab Keluarga dan Kebajikan Jabatan Belia dan Sukan Pahang menerima sumbangan sebanyak RM50,000 daripada Kerajaan Pahang bagi menjalankan pelbagai aktiviti yang dapat meningkatkan produktiviti jabatan itu.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sumbangan tersebut diberikan bagi membolehkan pelaksanaan pelbagai program kebajikan berkaitan warga Jabatan Belia dan Sukan Pahang.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

“Seperti yang saya katakan supaya dapat dipertingkatkan (produktiviti) dan untuk meningkatkan aktiviti belia ini adalah satu proses yang tidak ada penghujungnya, jadi kita kena sentiasa buatlah, sebab itu kita bagi sumbangan sikit untuk membolehkan kelab ini bergerak untuk mengadakan aktiviti bersama-sama dengan belia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir pada Majlis Santunan Kasih YAB Menteri Besar Pahang Bersama Pegawai dan Kakitangan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang yang diadakan di Dewan Kediaman Rasmi Menteri Besar Pahang di sini semalam.

Hadir sama ialah Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Encik Fadzli Mohamad Kamal, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Pahang, Encik Mu’azamir Haji Jili, Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Belia merangkap Yang Dipertua Kelab Keluarga dan Kebajikan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang, Encik Shafrul Haji Kadir dan Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Rakan Muda Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang, Puan Nor Hashekin Abdul Aziz.

Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berharap agar sumbangan tersebut dapat memastikan pengurusan kelab dapat dilaksanakan dengan baik menerusi pelaksanaan program-program pemantapan organisasi untuk seluruh kakitangan.

Beliau juga berharap agar kerjasama di antara Kerajaan Negeri bersama jabatan tersebut dapat digerakkan bersama bagi memastikan pembangunan belia dan sukan di Pahang dapat mencipta kegemilangan. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram