Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan merasmikan Program Eco-Schools yang turut dihadiri Penaung Diraja Eco-Schools Pahang di di Sekolah Kebangsaan Tunku Azizah di Kuantan

100 SEKOLAH TERLIBAT INISIATIF LESTARI ALAM SEKITAR DI PAHANG

Oleh : Ain Nadhirah Basha & Alia Mokhtar
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 13 JUN 2023 : Kerajaan Pahang menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi melaksanakan inisiatif melestarikan alam sekitar melibatkan 100 buah sekolah di negeri ini.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir. Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd. Razak berkata, Kerajaan Negeri melakukan pelbagai usaha dalam menjayakan usaha memelihara dan memulihara kelestarian alam sekitar.

Beliau berkata, tindakan ini termasuklah penubuhan majlis biodiversiti Negeri Pahang, Perbadanan Taman Negeri Pahang dan Pusat Pemuliharaan Harimau Kebangsaan (NTCC) di Kuala Gandah, Lanchang.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir. Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd. Razak

“Sesungguhnya, berkat kebijaksanaan pemikiran, keprihatinan dan perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku jua lah, maka tercetusnya ilham untuk melaksanakan program berkonsepkan kelestarian alam sekitar yang diberi nama ECO-SCHOOLS dengan tujuan untuk memupuk kesedaran akan kepentingan menjaga alam sekitar dalam diri murid-murid sekolah sejajar dengan pepatah melayu iaitu melentur buluh, biarlah dari rebungnya.

“Selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, sebagai perintis program ini akan melibatkan sebanyak 100 buah sekolah di negeri Pahang. Sekolah-sekolah yang terpilih adalah terdiri daripada sekolah rendah dan sekolah menengah termasuk di kawasan Felda, pendalaman atau perkampungan orang asli, sekolah rendah jenis kebangsaan Cina (SJKC), dan sekolah rendah jenis kebangsaan Tamil (SJKT),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika persembahan ucapan pada Majlis Perasmian Eco-Schools Pahang yang bertempat di Sekolah Kebangsaan Tunku Azizah di Indera Mahkota, hari ini.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bercemar duli merasmikan majlis berkenaan.

Turut berangkat Penaung Diraja Eco-Schools Pahang, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut hadir, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan barisan Exco Kerajaan Pahang.

Menurut beliau, program ini selaras dengan titah Pemangku Raja Pahang bagi memastikan kelangsungan biodiversiti agar setiap projek pembangunan di negeri ini dilaksanakan secara lestari berpandukan konsep alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) seperti mana seruan pertubuhan bangsa-bangsa bersatu (PBB).

Dalam pada itu, beliau berkata, SK Tunku Azizah merupakan sekolah pertama bagi perasmian program Eco-Schools Pahang yang cukup sinonim dan dekat di hati Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Raja Permaisuri Agong yang merupakan penaung DiRaja sekolah berkenaan.

“Beberapa projek telah dilaksanakan di sekolah ini, antaranya adalah projek Akuaponik oleh Jabatan Perikanan Negeri pahang, Projek Pengumpulan air hujan (Rain Water Harvesting) oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Pahang dan Pembikinan video pendek berkaitan keterjaminan makanan produk ayam dari ladang ke meja hidangan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Pahang serta pameran oleh pihak sekolah ini,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram