Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 13 JUN 2023 : Pahang menyasarkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada institusi pendidikan di negeri ini mendapat pengiktirafan institusi hijau melalui Eco-School Pahang bagi tahun 2023 hingga 2030.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah demikian ketika mengumumkan pelan hala tuju Pahang Greening Education Partnership hari ini.
Baginda menggariskan empat pelan hala tuju yang telah digariskan bertujuan memperkasakan generasi muda dengan ilmu berkenaan alam sekitar melalui pendidikan.
“Pelan hala tuju Pahang Greening Education Partnership ini bertujuan untuk memperkasakan generasi muda dengan pengetahuan, kemahiran, dan nilai yang diperlukan untuk menangani cabaran alam sekitar yang mendesak melalui pendidikan.

“Antara sasaran yang digariskan mengikut pelan hala tuju ini ialah pertama; Penghijauan Sekolah, sekurang-kurangnya 50 peratus daripada institusi pendidikan di Pahang diberi pengiktirafan sebagai sekolah atau institusi hijau setelah menamatkan program Eco-Schools dan Eco-Campus.
“Keduanya, sasaran Menghijaukan Pembelajaran iaitu 100 peratus sekolah yang mengikuti program Eco-Schools akan menerapkan pengintegrasian pendidikan perubahan iklim di dalam Kurikulum Kebangsaan, dan 100% Institusi Pendidikan Tinggi yang menjalani program Eco-Campus akan menawarkan kursus-kursus Pengurusan Pembangunan Mampan,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Pelancaran Program Eco-Schools yang turut dihadiri Penaung Diraja Eco-Schools Pahang, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut hadir, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail; Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir. Mohd. Soffi Tan Sri Abdul Razak; dan barisan Exco Kerajaan Pahang.
Baginda bertitah bagi pelan ketiga melibatkan Menghijaukan Kapasiti dan Ketersediaan, manakala pelan keempat adalah Penghijauan Komuniti.
“Ketiga, Penghijauan Kapasiti dan Kesediaan, setiap gutu besar atau pengetua dan sekurang-kurangnya dua orang guru dari setiap sekolah di Pahang mengikuti kursus Climate Change Education.
“Dan yang keempat, Penghijauan Komuniti, 100 peratus sekolah dalam kawasan Felda yang terlibat dalam Eco-Schools Pahang menjadi pusa pendidikan untuk pembangunan mampan komuniiti,” titah baginda.
Titah turut menyeru agensi negeri dan kerajaan untuk menyokong Program Eco-Schools, begitu juga sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan, organiasi antarabangsa, yayasan dan badan berkaitan untuk menyumbang tajaan serta berkongsi kepakaran.
“Marilah kita mempromosikan Program Eco-Schools Pahang sebagai sebahagian daripada program jangkauan mereka sekaligus menyumbang kepada tunjang ESG tanggungjawab sosial korporat (CSR) masing-masing.
“Pastikan program ini sampai ke setiap pelosok negeri kita. Dan Eco-Schools Pahang merupakan usaha yang bergerak seiring dengan usaha saya dalam menyelamatkan Harimau Malaya melalui pembentukan kesedaran para remaja tentang kepentingan alam sekitar sebagai habitat Harimau Malaya yang semakin diancam kepupusan,” titah baginda. – PAHANGMEDIA