Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal (tengah) bersama delegasi Kerajaan Pahang ketika mengadakan lawatan kerja ke Pusat Operasi Digital Nasional Berhad (DNB) di Menara TRX, Kuala Lumpur, hari ini.

165 STRUKTUR TELEKOMUNIKASI LIPUTAN 5G TELAH BEROPERASI

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUALA LUMPUR, 08 JUN 2023 : Sebanyak 165 tapak struktur telekomunikasi dengan liputan 5G telah siap dan beroperasi di lapan daerah di Pahang setakat ini.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal dalam satu kenyataan berkata, ia melibatkan Kuantan, Bentong, Pekan, Rompin, Temerloh, Raub, Lipis, dan Cameron Highlands.

“Saya bersama delegasi Kerajaan Negeri Pahang mengadakan lawatan kerja ke Pusat Operasi Digital Nasional Berhad (DNB) di Menara TRX, Kuala Lumpur, hari ini.

“Dalam lawatan kerja ini, saya diberi taklimat khas oleh Ketua Pegawai Strategi DNB, Dato’ Ahmad Zaki Zahid mengenai DNB dan status pelaksanaan 5G di seluruh negara termasuk Pahang, sebelum dibawa meninjau DNB Network Operation Center, yang beroperasi 24 jam setiap hari.

“Berdasarkan status terkini, sebanyak 165 tapak 5G telah siap dan beroperasi di Pahang. 165 tapak ini memberi perkhidmatan 5G kepada pengguna di beberapa daerah iaitu Kuantan (104 lokasi), Bentong (14 lokasi), Pekan (17 lokasi), Rompin (11 lokasi), Temerloh (15 lokasi), Raub (2 lokasi) serta Lipis dan Cameron Highlands masing-masing satu lokasi,” katanya.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal (tengah) bersama delegasi Kerajaan Pahang ketika mengadakan lawatan kerja ke Pusat Operasi Digital Nasional Berhad (DNB) di Menara TRX, Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir dalam lawatan kerja, Setiausaha Bahagian, Bahagian Teknologi Maklumat SUK Pahang, Puan Zuraidah Mat Harun; Pengarah MCMC Pahang, Encik Mohd Faisal Md Nor; Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Teknologi Maklumat, Ts Syamsul Iskandar Shamsuddin; Ketua Pegawai Eksekutif PahangGo, Encik Affendi Mohd Isa; dan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Pahang, Encik Morgeantheren Rajah.

Beliau berkata kadar liputan 5G di kawasan berpenduduk di negeri Pahang telah mencapai 38.7 peratus dan dijangka mencapai 64.2 peratus.

“Di Pahang, kadar liputan 5G di kawasan berpenduduk telah mencapai 38.7 peratus dan dijangka akan mencapai 64.2 peratus pada penghujung tahun ini, iaitu apabila semua struktur 5G siap kelak.

“Kerajaan Negeri Pahang komited memastikan pelaksanaan 5G ini mengikut jadual dan perancangan yang ditetapkan sekaligus memastikan manfaatnya dapat dinikmati oleh pengguna dan juga pembangunan ekonomi negeri,” katanya.

Tambah beliau lagi, Kerajaan Negeri Pahang turut bercadang beberapa kolaborasi bersama pihak DNB bagi membekalkan liputan 5G di negeri ini.

“Beberapa kolaborasi dengan DNB turut dibincangkan untuk diterokai bagi memastikan teknologi 5G dapat memberi manfaat yang lebih besar khususnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi termasuklah dalam industri utama di Pahang seperti perladangan, automotif, pelabuhan dan sebagainya,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram