KUANTAN, 8 JUN 2023 : Seramai 397 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 di Pahang memperoleh keputusan cemerlang gred A dalam semua mata pelajaran yang diambil.
Pengarah Pendidikan Negeri Pahang, Encik Mohammad Rosli Abdul Rahman, daripada jumlah itu seramai lapan calon mendapat semua A+ dalam mata pelajaran diambil berbanding hanya seorang tahun lalu manakala seramai 389 calon memperoleh A (Gred A+, A dan A-) lulus dalam semua mata pelajaran.
“Di negeri ini seramai 17, 567 calon sekolah di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah mendaftar untuk menduduki SPM tahun lalu. Seramai 16,704 calon telah mengambil peperiksaan di 201 pusat peperiksaan ditetapkan.

“Kita juga mencatatkan rekod Gred Purata Negeri (GPN) memberansangkan sebanyak 4.57 peratus bagi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 mengatasi Gred Purata Kebangsaan (GPK) yang tetapkan iaitu 4.74 peratus,” katanya ketika mengumumkan keputusan SPM 2022 negeri di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rangin, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Encik Mohammad Rosli berkata, seramai 112 calon berkeperluan khas (CBK) menduduki peperiksaan tahun ini dengan 15 daripadanya mendapat sekurang-kurangnya 5A berbanding hanya lima tahun lalu.
Jelasnya, seramai 729 calon Orang Asli menduduki peperiksaan SPM tahun lalu dan daripada jumlah tersebut seramai 35 calon Orang Asli mendapat sekurang-kurangnya 5A dan seorang berjaya memperoleh 10A. – PAHANGMEDIA