Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 01 JUN 2023 : Masjid dan surau di bawah pengurusan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) diminta melakukan solat hajat bagi memohon kesejahteraan buat negara dan masyarakat disebabkan keadaan cuaca yang panas kini.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata Kerajaan Negeri Pahang menyambut baik saranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkenaan perkara ini semalam.
“Kerajaan Negeri Pahang meyambut baik saranan Menteri Agama semalam berkenaan pelaksanaan solat hajat kepada masjid dan surau di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) semalam.
“Oleh itu kami meminta pihak masjid dan surau di bawah pengurusan Jabatan Agama Islam Pahang turut ambil maklum dan melakukan langkah sama,” katanya.
Beliau turut meminta rakyat di negeri ini supaya menjaga kesihatan dan mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Dan rakyat Pahang juga digalakan untuk menjaga kesihatan serta tidak keluar rumah ketika cuaca terlalu panas jika tiada urusan yang penting.
“Orang ramai juga dinasihatkan untuk perlu banyak minum air kosong supaya sentiasa segar dan menyeimbangi suhu badan agar tidak terus meningkat,” katanya.
Jabatan Metrologi sebelum ini menjangkakan Malaysia akan mengalami cuaca panas dan kering berpanjangan sehingga Ogos, susulan peralihan monsun.
Setakat semalam terdapat 12 kawasan di Semenanjung Malaysia berada pada Tahap 1 (Berjaga-Jaga) iaitu di Pasir Mas, Kuala Krai, Raub, Bentong, Bera, Temerloh, Jerantut, Lipis, Kuantan, Batang Padang, Kuala Selangor dan Jempol dan dua kawasan di Sabah berada pada Tahap 1 (Berjaga-Jaga) iaitu Beaufort dan Kinabatangan.
Bagi tahap berjaga-jaga suhu maksimum harian adalah 35 hingga 37 darjah Celcius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut. -PAHANGMEDIA