Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hj Mohd Sharkar Haji Shamsudin ketika Program Ziarah Kasih YDP Dewan Negeri Pahang kepada bekas Ahli Dewan Negeri Pahang di KPJ Kuantan Care & Wellness Centre Teluk Sisek di sini.

KAJI PENYELARASAN KADAR PENCEN BEKAS WAKIL RAKYAT DI PAHANG

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Najmuddin Zahid

KUANTAN, 31 MEI 2023 : Kerajaan Negeri Pahang akan mengkaji semula penyelarasan kadar pencen kepada bekas wakil rakyat di negeri ini.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hj Mohd Sharkar Haji Shamsudin berkata kadar tersebut akan ditetapkan mengikut kesesuaian semasa.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hj Mohd Sharkar Haji Shamsudin

“Sememangnya antara perkara yang kita akan kaji balik iaitu isu pencen ini kerana pencen kakitangan kerajaan naik, (namun) bagi bekas wakil rakyat ada yang naik, ada yang tak naik.

“Jadi kita akan kaji semula penyelarasannya sebab mesti ada kesesuaian dengan keadaan semasa, dimana kita lihat harga barang naik, sewa naik, semua naik.

Maka kemungkinan kita akan kaji balik kesesuaian termasuk jumlahnya dan kita akan maklumkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Ziarah Kasih YDP Dewan Negeri Pahang kepada bekas Ahli Dewan Negeri Pahang di KPJ Kuantan Care & Wellness Centre Teluk Sisek di sini.

Menurut beliau, perkara ini akan dimaklumkan kepada Jawatankuasa Peraturan Hak Kebebasan sebelum dibawa ke Kerajaan Negeri.

“InsyaAllah saya akan maklumkan perkara ini kepada Menteri Besar. Hari ini pun Menteri Besar ada mengirim sedikit buah tangan kepada dua bekas ADUN yang kita ziarah ni.

“Saya sebagai Yang Dipertua Dewan Negeri akan mengkaji perkara tersebut dan akan maklumkan kepada Jawatankuasa Peraturan Hak Kebebasan untuk kita bahaskan, seterusnya akan dimaklumkan kepada Kerajaan Negeri,” katanya.

Tambah beliau, program ziarah kasih ini juga akan diteruskan selepas ini sebagai tanda ingatan dan penghargaan kepada bekas wakil rakyat di negeri ini.

“Program Ziarah Kasih ini telah lama dirancang dimana kita menziarahi rakan-rakan seperjuangan kita, bekas wakil rakyat. Mereka dahulu merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), kini ada yang telah lanjut usia dan tidak berapa sihat.

“Insyaallah program ini kita akan teruskan buat bekas ADUN lain walau dimana mereka berada kerana tujuan kita adalah untuk meninjau kesihatan dan keadaan mereka. Kita kena ingat suatu ketika dahulu, mereka adalah orang yang memberikan sumbangan kepada negeri.

“Merekalah yang membawa Rang Undang-Undang (RUU) dan Enakmen ke Dewan (DUN) dan merekalah yang membahas dan menyokongnya sehingga kita berada dalam keadaan sejahtera begini di Pahang. Sebab itulah kita menghargai jasa mereka dan insyaallah kita akan teruskan program ini,” katanya.

Beliau sebelum itu telah menziarahi bekas ADUN Bera pada 1978 sehingga 1982, YH. Dato’ Haji Jaafar Salleh, 93, di Kampung Kempadang serta YH. Dato’ Rahimah Mohammad Kawi, 86, yang pernah menjadi ADUN Tembeling (1990-1995) dan ADUN Tahan (1995-1999). -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram