YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika Majlis Makan Malam di Kaherah, Mesir bersama pelajar dan delegasi dari Kerajaan Pahang.

KERAJAAN PAHANG LULUS RM25,000 BAIK PULIH SURAU DI MESIR

Oleh : Fansurina Abdullah

KUANTAN, 31 MEI 2023 : Kerajaan Pahang meluluskan peruntukan berjumlah RM25,000 bagi menambah baik kelengkapan Surau Syeikh Abdul Halim Mahmud, Kompleks Indera Mahkota di Hayy Asyir, Kaherah di Mesir.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dalam satu hantaran di Facebooknya berkata, sumbangan berkenaan adalah untuk membeli kelengkapan seperti karpet dan peralatan siaraya.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

“Saya dimaklumkan surau ini telah beroperasi sejak tahun 1996 bagi kegunaan pelajar yang boleh memuatkan sehingga 300 orang,” katanya.

Sebelum itu beliau hadir pada Majlis Makan Malam di Kaherah, Mesir bersama pelajar dan delegasi dari Kerajaan Pahang.

Sementara itu katanya, kerajaan Negeri juga turut menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada Badan Kebajikan Mahasiswa Islam Pahang serta RM10,000 lagi disumbangkan kepada Majlis Muafakat Anak-Anak Pahang Mesir untuk aktiviti serta manfaat anak-anak Pahang di Mesir.

“Saya dimaklumkan seramai 350 anak-anak Pahang sedang mengikuti pengajian di negara itu dalam pelbagai bidang pengajian,” katanya,

Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan sumbangan khas sebanyak USD100 (RM460) daripada Kerajaan Negeri kepada setiap pelajar Pahang di negara itu.

Pada kesempatan itu, belaiu turut menasihati pelajar supaya belajar bersungguh-sungguh sehingga menamatkan pengajian dengan cemerlang supaya dapat menyebarkan ilmu yang telah dipelajari kepada masyarakat di tanah air.

“Semoga anak-anak pelajar dapat bersabar dan tabah mengharungi segala bentuk ujian dan cabaran terutama ketika berjauhan dengan keluarga tercinta,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram