Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 30 MEI 2023 : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Pahang telah merampas 16,000 liter minyak diesel bersubsidi yang disimpan secara haram hari ini.
Menurut kenyataan media Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri KPDN Pahang, Tuan Muhamad Radzi Johari, pihak KPDN telah membuat serbuan di sebuah gudang penyimpanan haram di Indera Mahkota 14 di sini.
“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Pahang telah bertindak menahan dua orang lelaki Melayu dan seorang lelaki berbangsa Rohingya di sebuah gudang penyimpanan yang dijadikan tempat mengumpul minyak diesel bersubsidi pada 29 Mei 2023.
“Modus Operandi sindiket ini adalah menggunakan beberapa buah kepala lori jenis prime mover untuk mengutip minyak diesel di beberapa buah stesen minyak di sekitar Kuantan. Hasil risikan yang dijalankan selama satu minggu telah membawa kepada penemuan sebuah Gudang di kawasan perindustrian Indera Mahkota 14 yang dijadikan tempat pengumpulan minyak diesel tersebut,” menurut kenyataan tersebut.
Beliau berkata dalam serbuan sekitar 11 pagi hari ini, pihak KPDN telah menemui tiga buah kepala lori yang berada di dalam gudang tersebut dengan satu daripadanya sedang memindahkan minyak dari tangki lori ke dalam sebuah tangki.
“Dalam serbuan yang dijalankan sekitar 11.00 pagi telah menemui tiga buah kepala lori prime mover yang berada di dalam gudang tersebut dengan satu daripadanya sedang memindahkan minyak dari tangki lori ke dalam sebuah skid tank.
“Turut ditemui di dalam gudang adalah dua buah skid tank berisi minyak diesel dengan anggaran 16,000 liter, satu buah treler tangki minyak dan tiga set pam yang digunakan untuk pemindahan minyak dari tangki lori ke skid tank. Dua orang lelaki melayu yang ditahan merupakan pemandu lori dan satu orang lelaki rohingya pula merupakan penjaga gudang tersebut,” menurut kenyataan berkenaan.
Tambah beliau lagi, dalam serbuan berkenaan, pihak KPDN telah menyita kenderaan, minyak diesel, peralatan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM453,4000.
“Kesemua lori, minyak diesel dan peralatan yang digunakan telah disita dengan nilai sitaan dianggarkan berjumlah RM454,400,” katanya. – PAHANGMEDIA