YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan delegasi Kerajaan Negeri Pahang telah bertemu dengan Rektor Universiti Al-Azhar, Profesor Dr Salamah Daud dan menyaksikan Majlis Menandatangani Persefahaman (MoU) antara Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) dan Universiti Al-Azhar berhubung kerjasama strategik di Universiti Al-Azhar, Mesir

KUNJUNGAN DELEGASI KERAJAAN NEGERI ERAT HUBUNGAN BAIK DENGAN UNIVERSITI AL-AZHAR

Oleh: Fairus Mohd
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 30 MEI 2023 : Kunjungan delegasi Kerajaan Negeri diketuai YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ke Universiti Al-Azhar Mesir dijangka dapat menambah manfaat terhadap perkembangan pendidikan Islam di negeri ini.

Dato’ Sri Haji Wan Rosdy dalam ucapannya berkata, hubungan antara Pahang dan Universiti Al Azhar Mesir telah berlangsung sejak awal tahun 1950an di mana pelajar dari Pahang telah mula datang ke sana untuk menyambung pengajian khususnya dalam bidang agama.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan delegasi Kerajaan Negeri Pahang telah bertemu dengan Rektor Universiti Al-Azhar, Profesor Dr Salamah Daud dan menyaksikan Majlis Menandatangani Persefahaman (MoU) antara Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) dan Universiti Al-Azhar berhubung kerjasama strategik di Universiti Al-Azhar, Mesir

“Hingga kini graduan Universiti Al-Azhar di Pahang telah mencapai puluhan ribu orang manakala sebahagian besar jawatan dalam hal ehwal agama dan pendidikan agama di Pahang diterajui oleh graduan Al-Azhar.

“Oleh itu, kunjungan ini menjadi ruang bertukar pandangan dalam bidang pendidikan, penyelidikan, kepakaran dan lain-lain yang boleh memberi manfaat bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membuat kunjungan hormat kepada Rektor Universiti Al Azhar Prof Dr Salamah Daud di Universiti Al Azhar Mesir, semalam.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyaksikan Majlis Menandatangani Persefahaman (MoU) antara Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) dan Universiti Al-Azhar berhubung kerjasama strategik di Universiti Al-Azhar, Mesir

Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri Pahang juga sentiasa membantu pelajar di negeri Pahang yang menyambung pengajian di Universiti Al-Azhar dengan menyediakan tiket penerbangan, perbelanjaan sara hidup, biasiswa serta penginapan pelajar.

“Kerajaan Negeri Pahang sememangnya amat menitikberatkan soal pembangunan pendidikan Agama Islam dengan menyediakan peluang pendidikan agama daripada peringkat pendidikan awal kanak-kanak (tadika) sehinggalah ke peringkat universiti.

“Di peringkat universiti pula, lebih 100 orang pelajar dari Negeri Pahang menggunakan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan diploma UnIPSAS dihantar menyambung pengajian di Universiti Al-Azhar dalam Ijazah Sarjana Muda pada setiap tahun.

“UnIPSAS juga merupakan universiti pertama di Malaysia yang telah menandatangani MoU dengan Universiti Al-Azhar sejak tahun 2015 lagi, hasilnya lepasan diploma UnIPSAS diterima terus ke tahun 2 dan tahun 3 di Universiti Al- Azhar,” katanya.

Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada Universiti Al-Azhar kerana mengiktiraf diploma UnIPSAS bagi membolehkan pelajar menyambung pengajian di Universiti Al-Azhar dalam peringkat Ijazah Sarjana Muda.

Sebagai menghargai sumbangan Universiti Al-Azhar dalam membantu perkembangan dakwah, pendidikan dan penyelidikan di negeri Pahang juga, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang melalui Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) telah menyumbangkan RM1 juta kepada Universiti Al-Azhar pada tahun lalu. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram