Oleh : Fairus Mohd
ROMPIN, 28 MEI 2023 : Komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan 270 buah menara telekomunikasi baharu di seluruh negeri ini siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini diteruskan dengan pemantauan yang dilakukan secara berterusan.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Encik Fadzli Mohamad Kamal berkata, ia memerlukan kerjasama semua pihak terlibat untuk memastikan sasaran Kerajaan Negeri memberi kemudahan telekomunikasi terbaik kepada rakyat dapat direalisasikan.
“Setakat ini sebanyak 56 buah menara telekomunikasi siap sepenuhnya di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) manakala bakinya kini sedang menjalani fasa pembinaan infrastruktur serta pengoperasian oleh syarikat telekomunikasi.
“Kerajaan Negeri konsisten tegas mahukan semua menara siap dan beroperasi sepenuhnya mengikut sasaran dan kita mengadakan mesyuarat secara berkala dengan agensi-agensi terlibat seperti Koridor Utiliti Pahang, Pahang Corporation, PTG dan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang kerana ingin percepatkan proses berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat dan menyaksikan Majlis Penyerahan Menara Komunikasi JENDELA di Ladang Far East Sungai Gayung dan Ladang Far East Rangkaian, hari ini.
Turut hadir, Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Tuan Ir Razali Kassim, Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Pahang, Encik Mohd Faisal Md Nor.
Sementara itu beliau berkata, kerjasama baik semua pihak terlibat akan menyelesaikan segala urusan dengan segera.
“Saya nak tegaskan segala perolehan semua tapak menara mesti selesai pada penghujung bulan Jun ini, dengan cara ini sahaja semua menara boleh siap sepenuhnya pada penghujung tahun ini.
“Saya minta semua pihak berkepentingan memberi tumpuan khusus bagi menyiapkan projek ini dan sebagai Exco yang bertanggungjawab saya telah menyatakan komitmen kepada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkenaan kemajuan pembinaan menara ini,” katanya. -PAHANGMEDIA