Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Encik Fadzli Mohamad Kamal ketika merasmikan Klinik Golf Siri I anjuran Akademi Golf Negeri Pahang dengan kerjasama Akademi Golf Nasional, Universiti Utara Malaysia (UUM) di Mahkota Golf & Country Club, hari ini.

KLINIK ASAS SASAR LAHIR PEMAIN INDUSTRI SUKAN GOLF BERKUALITI

Oleh : Fairus Mohd

KUANTAN, 27 MEI 2023 : Bukan hanya ingin melahirkan atlet sukan golf profesional, namun Klinik Asas Golf yang dianjurkan menjadi platform untuk meneroka lebih banyak peluang yang ada di dalam sukan tersebut.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Encik Fadzli Mohamad Kamal berkata, ia juga adalah komitmen Kerajaan Negeri melalui Majlis Sukan Pahang untuk mencungkil bakat di kalangan anak-anak negeri Pahang sejak di awal usia.

Menurutnya, penyertaan anak-anak berusia 7 hingga 15 tahun ini amat sesuai dalam memastikan mereka yang dikesan bakat dan kebolehan dapat diasah sejak usia muda.

“Mereka ada masa depan yang cerah, kualiti sukan meningkat dan mereka boleh memperoleh pendapatan luar biasa melalui kejohanan-kejohanan yang diadakan di dalam dan luar negara.

“Dari sudut lain pula, mereka yang mendekati dan terjun ke dalam sukan ini akan dapat lihat peluang-peluang lain yang wujud seperti menjadi usahawan berkaitan sukan ini yang mendapat perhatian dan minat ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemuiĀ  selepas merasmikan Klinik Golf Siri I anjuran Akademi Golf Negeri Pahang dengan kerjasama Akademi Golf Nasional, Universiti Utara Malaysia (UUM) di Mahkota Golf & Country Club, hari ini.

Turut hadir Pengarah Majlis Sukan Pahang (MSP), Encik Zamri Hassan, Pengarah Pusat Sukan dan Kebudayaan Universiti Malaysia Pahang (UMP) Encik Mohd Aznorizamin Ismail serta Pengarah Akademi Golf Nasional,
Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Zaheruddin Othman.

Dalam pada itu, Pengarah Akademi Golf Nasional, UUM Prof Madya Dr Zaheruddin Othman yang ditemui turut memuji usaha yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri dalam menyediakan platform baik untuk peminat sukan ini di awal usia.

“Di UUM, kita menyediakan peluang untuk mereka yang berbakat meneruskan kelebihan mereka di Akademi Golf Nasional tanpa mengabaikan aspek akademik di mana mereka boleh melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat ijazah.

“Kita ada fasiliti dan main power yang boleh dikatakan lengkap untuk mereka meneruskan bakat dan pendidikan. Di sini mereka akan dapat lihat peluang menjadi pemain profesional serta peluang-peluang lain yang ada dalam industri sukan golf ini,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram