YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan Hadiah Pelajar Cemerlang daripada Kerajaan Negeri kepada Nur Hanisah Aripin yang telah berjaya mencatat keputusan cemerlang Skor Sempurna (100%) Bagi Subjek MA2 Managing Costs & Finance, Pengajian Foundation In Accountancy ACCA di INTEC Education College, Shah Alam.

KEPRIHATINAN KERAJAAN PAHANG DORONG KEJAYAAN LUAR BIASA NUR HANISAH

Oleh : Fairus Mohd

KUANTAN, 25 MEI 2023 : Pelajar cemerlang, Nur Hanisah Aripin, 19, yang berjaya mencatat keputusan cemerlang Skor Sempurna (100%) bagi Subjek MA2 (Managing Costs & Finance) Pengajian Foundation In Accountancy ACCA di INTEC Education College, Shah Alam baru-baru ini menghargai segala keprihatinan Kerajaan Negeri Pahang yang turut menjadi pendorong di atas kejayaan yang digapai.

Menurut anak jati Kuantan ini, bantuan dan sokongan yang diberikan termasuk anugerah yang diterima daripada Kerajaan Negeri menguatkan lagi semangatnya untuk terus mencatat kecemerlangan.

“Terima kasih kepada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan Yayasan Pahang di atas penyampaian hadiah anugerah (cemerlang) ini. Saya sangat menghargai keprihatinan MB dan Yayasan Pahang terhadap pendidikan anak-anak Pahang.

Nur Hanisah Aripin, 19

“Kami semua telah mendapat banyak manfaat daripada bantuan biasiswa dan sumbangan dari pihak Kerajaan Negeri. Saya harap semua anak Pahang dapat memanfaatkan sebaiknya segala usaha pihak Kerajaan Negeri dalam mempertingkatkan kualiti pendidikan rakyat di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas diraikan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dalam majlis ringkas sebelum bermulanya Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) di Majlis Perbandaran Bentong hari ini.

Sementara itu, anak kedua daripada lima beradik ini tidak lokek berkongsi tips bagaimana cara beliau belajar dan sasaran untuk muncul cemerlang.

“Saya sentiasa bertanya dalam kelas jika ada topik pembelajaran yang tidak difahami atau berjumpa terus dengan pensyarah atau kawan-kawan yang lebih mahir untuk selesaikan masalah itu secepatnya.

“Jika mahu lebih mahir tentang sesuatu tajuk itu, kita boleh cuba ajar kawan-kawan lain sebab dengan cara berkongsi ilmu itu boleh tambahkan kefahaman kita sendiri,” katanya.

Nur Hanisah turut berharap agar anugerah yang diterima dapat meningkatkan semangatnya untuk meneruskan kejayaan di masa hadapan dan menjadi inspirasi buat semua pelajar di luar sana.

Nur Hanisah merupakan alumni Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) ambilan 2017-2021 ini merupakan pelajar cemerlang dengan pencapaian 11A dalam SPM 2021 dan berjaya khatam hafazan 30 juzuk Al-Quran pada tahun 2020 selain lulus ujian pra-syahadah lima juzuk Al-Quran pada tahun 2021. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram