Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Encik Fadzli Mohamad Kamal ketika Majlis Penyerahan Menara Komunikasi JENDELA di KOA Kuala Boh, hari ini.

TABUNG AMANAH PEMBANGUNAN SUKAN PAHANG BAKAL DILANCARKAN BULAN DEPAN

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

CAMERON HIGHLANDS, 24 MEI 2023 : Kerajaan Pahang dijangka akan melancarkan Tabung Amanah Pembangunan Sukan Pahang pada bulan hadapan, bagi membangun dan memajukan bidang sukan di negeri ini.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Encik Fadzli Mohamad Kamal berkata penubuhan tabung amanah berkenaan kini berada pada proses terakhir mendapatkan kelulusan daripada agensi berkaitan.

“Akaun bagi tabung amanah ini sedang berada pada proses terakhir di mana kita telah lepas di Lembaga Hasil Dalam Negeri, dan sekarang dalam peringkat di AMLA sahaja.

“Bila dah selesai, saya harap bulan depan tabung amanah ini dah boleh dilancarkan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy da n saya harap tiada sebarang masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat dan menyaksikan Majlis Penyerahan Menara Komunikasi JENDELA di Kampung Orang Asli Kuala Boh, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Pahang, Encik Mohd Faisal Md Nor; dan Pegawai Daerah Cameron Highlands, Tuan Syed Ahmad Khairulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman.

Menurut beliau lagi, penubuhan tabung amanah ini bertujuan untuk membangun dan memajukan bidang sukan dan industri sukan di negeri ini.

“Kerajaan Negeri komited nak bangun dan majukan sukan dan industrinya di negeri Pahang ini dan saya merangka satu inisiatif khusus melalui penubuhan Tabung Amanah Pembangunan Sukan Pahang.

“Inisitif ini tidak pernah dilaksanakan dan tujuannya, pihak syarikat swasta, korporat, mahupun orang awam boleh menyumbang ke dalam tabung ini dan mereka dikecualikan cukai.

“Jika sebelum ini sebarang sumbangan untuk bidang sukan ini, ia perlu melalui Majlis Sukan Negara (MSN) untuk mendapatkan pengecualian cukai, jadi proses itu agak rumit,” katanya.

Beliau berharap dengan penubuhan tabung amanah ini akan dapat memberi impak dari segi kemajuan sukan di negeri ini khususnya terhadap kebajikan atlet, pengurusan sukan, jurulatih, serta infrastruktur sukan di Pahang. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram