Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Encik Fadzli Mohamad Kamal menyaksikan penyerahan sumbangan sebanyak RM35,000 kepada Persatuan Sepak Takraw Negeri Pahang bagi kegunaan Sepak Takraw League (STL)

KERAJAAN NEGERI ALU SUMBANGAN, SOKONGAN PIHAK SWASTA MAJUKAN SUKAN DI PAHANG

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 23 MEI 2023 : Kerajaan Negeri Pahang mengalu-alukan sumbangan serta sokongan daripada pihak swasta bagi memajukan bidang sukan di negeri ini.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Encik Fadzli Mohamad Kamal berkata kesemua sumbangan ini akan disalurkan kepada program pembangunan sukan di Pahang.

“Saya sememangnya mengalu-alukan sumbangan dan sokongan daripada pihak swasta untuk memajukan sukan di negeri Pahang.

“Di pihak Kerajaan Negeri Pahang, kita sedang berusaha menubuhkan Tabung Amanah Pembangunan Sukan Pahang yang membolehkan pihak swasta, syarikat korporat dan orang awam untuk menyalurkan sumbangan kepada program pembangunan sukan di Pahang, dan diberi pengecualian cukai,” katanya dalam satu hantaran di media sosial beliau.

Menurut beliau lagi, penubuhan tabung amanah ini juga bertujuan menjadikan program pembangunan sukan di negeri ini sebagai tanggungjawab bersama semua pihak.

“Sebelum ini, setiap sumbangan daripada pihak syarikat swasta dan korporat, perlu terlebih dahulu melalui akaun Majlis Sukan Negara untuk mendapatkan pengecualian cukai.

“Selain mewujudkan dana bagi pembangunan sukan, Tabung ini juga bertujuan menjadikan program pembangunan sukan, sebagai tanggungjawab bersama semua pihak.

“Malah, bagi merancakkan penglibatan sektor korporat, mereka juga dialu-alukan untuk memilih ‘sukan angkat’ untuk disokong dan dibantu oleh organisasi masing-masing,” katanya.

Beliau sebelum itu turut menyaksikan penyerahan sumbangan sebanyak RM35,000 kepada Persatuan Sepak Takraw Negeri Pahang bagi kegunaan Sepak Takraw League (STL).

Sumbangan yang diterima daripada Syarikat Menara Network Sdn. Bhd. tersebut disampaikan oleh Dato Razif Asmuni kepada Timbalan Pengerusi Sepak Takraw Pahang, Dato’ Abu Jimi Samat dalam satu majlis ringkas di Wisma Sri Pahang, hari ini. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram