Kerajaan Pahang menggerakkan dua bot amfibia miliknya ke Langkawi untuk dipamerkan pada Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA 2023) yang bermula 23 Mei ini dan berakhir 27 Mei depan.

KERAJAAN PAHANG BAWA BOT AMFIBIA KE LIMA LANGKAWI

Oleh : Fansurina Abdullah

KUANTAN, 21 MEI 2023 : Kerajaan Pahang menggerakkan dua bot amfibia miliknya ke Langkawi untuk dipamerkan pada Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA 2023) yang bermula 23 Mei ini dan berakhir 27 Mei depan.

Pameran bot amfibia yang dibawakan khas oleh syarikat Sealegs International Ltd dengan kerjasama Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) ini merupakan usaha bagi menarik lebih ramai pelabur berpotensi dalam mengembangkan ‘supply chain’ bagi industri pembuatan bot amfibia.

Penglibatan Kerajaan Pahang pada LIMA 2023 ini juga bertujuan mempromosikan Lapangan Terbang Baharu dan Bandar Aeroangkasa yang dirancang di negeri ini bagi meningkatkan tarikan pelaburan sekaligus dapat menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Pahang.

Pada 8 Mac 2023, Kerajaan Pahang melalui PSK telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Sealegs International bernilai RM500 juta yang telah menjadikan Negeri Pahang sebagai pusat pembuatan dan pusat servis pertama Asia Tenggara.

Sebelum ini, Kerajaan Pahang tampil sebagai kerajaan negeri pertama memiliki dua bot amfibia bernilai RM1.8 juta di negara ini bertujuan menghadapi bencana banjir yang kerap berlaku di negeri ini. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram