Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato' Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad ketika Majlis Ramah Mesra Sempena Program Operasi Khidmat Masyarakat (OPKIM) Dan Kolokium Dakwah Antarabangsa UnIPSAS yang berlangsung di Hotel Sri Manja Boutique di Kuantan, malam tadi.

UNIPSAS PERKUKUH HUBUNGAN ANTARABANGSA ANTARA UNIVERSITI

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Najmuddin Zahid

KUANTAN, 21 MEI 2023 : Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) berusaha memperkukuhkan hubungan antarabangsa bersama universiti-universiti Islam di seluruh Asia bagi memastikan agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi negara menerusi Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) dapat dicapai.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, hubungan kerjasama di peringkat antarabangsa ini juga dapat mewujudkan percambahan ilmu dan pertukaran pendapat di kalangan pelajar dan ahli akademik yang terlibat.

“Mana-mana universiti pun ada hubungan dengan universiti lain dengan mengadakan pertukaran pelajar dan pensyarah, adakan seminar penyelidikan, ada buat kerjasama akademik, perkara ini memang wajar dan perlu kerana mereka mahukan percambahan ilmu, nak kan inovasi ilmu, mereka mahu kan penghasilan baru,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Ramah Mesra Sempena Program Operasi Khidmat Masyarakat (OPKIM) Dan Kolokium Dakwah Antarabangsa UnIPSAS yang berlangsung di Hotel Sri Manja Boutique di Kuantan, malam tadi.

Hadir sama ialah Naib Canselor UnIPSAS, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Mohd Zawavi Zainal Abidin, Ketua Program Studi Manajemen Dakwah Fakultas Dakwah dan Komunikasi merangkap Ketua Delegasi UIN Ar-Raniry, Dr. Abizal Muhammad Yati dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan dan Dasar) MUIP, YBrs Encik Khairuddin Ismail.

Program OPKIM ini merupakan Program Mobiliti Inbound yang dilaksanakan oleh UnIPSAS dengan melibatkan seramai 27 pelajar dari UIN Ar-Raniry dan 50 pelajar UnIPSAS.

Program 15 hari ini telah bermula 18 Mei lalu dan akan berakhir pada 1 Jun melibatkan beberapa daerah iaitu Kuantan, Cameron Highlands, Rompin dan Maran.

Bagi memperkukuhkan hubungan kerjasama untuk memberi nilai tambah terhadap perspektif global dan pengantarabangsaan, satu Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) telah diadakan di antara UnIPSAS dengan UIN Ar-Raniry pada 17 Mei lepas.

Antara aktiviti yang diadakan adalah program anak angkat, Program Ziarah Mahabbah di Perkampungan Orang Asli Sungai Ruil di Cameron Highlands, program pembangunan insan, program menyantuni anak-anak yatim, taklimat dakwah PERKIM dan Kembara Ilmu.

Program kali ini juga memberi peluang kepada peserta untuk mengikuti Kolokium Dakwah Antarabangsa yang menghimpunkan pembentang dan peserta antarabangsa pada 29 Mei 2023 di Auditorium UnIPSAS.

YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim berkata, Kerajaan Pahang memberikan sokongan sepenuhnya terhadap program-program akademik yang dapat menyumbang kepada percambahan ilmu di kalangan institusi pengajian tinggi di negeri ini. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram