Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 16 MEI 2023 : Kerajaan Persekutuan telah meluluskan 511 Projek Pembangunan bagi Rolling Plan Ketiga (RP3) Tahun 2023 di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dengan jumlah keseluruhan RM29.586 bilion.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek-projek yang telah diluluskan di bawah Rolling Plan Ketiga (RP3) RMK-12 meliputi 367 projek sambungan membabitkan peruntukan RM27.334 bilion dan 144 projek baharu melibatkan RM2.251 bilion.
“Manakala peruntukan yang diluluskan bagi Tahun 2023 pula adalah sebanyak RM2.836 bilion melibatkan RM2.697 bilion bagi Projek Sambungan dan RM138.884 juta bagi Projek Baharu.
“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri berharap melalui sesi libat urus yang dijalankan ini, Kementerian Ekonomi dapat melihat situasi sebenar keadaan Kerajaan Negeri Pahang dan keperluan projek pembangunan di negeri ini.
“Pihak Kerajaan Negeri turut berharap lebih banyak projek berimpak tinggi disalurkan ke negeri ini di bawah RP4 RMK-12 dan penyediaan unjuran peruntukan di bawah RMK-13,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 2021-2025 (KSP RMK-12) oleh Kementerian Ekonomi bersama-sama Kerajaan Pahang di Swiss-Bell Hotel l, di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Menteri Ekonomi, YB. Encik Rafizi Ramli, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Indera Zulkifli Yaacob, YB Penasihat Kewangan Negeri Pahang, Dato’Indera Nazri Abu Bakar, YB Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Dato’ Saiful Edris Zainuddin dan barisan Exco Kerajaan Pahang.
Dalam ucapannya, beliau berkata, menerusi Ease Of Doing Business Index telah meletakkan Negeri Pahang sebagai antara negeri terbaik dari segi penawaran fasiliti dan pemudahcara pelabur yang membawa kesan positif dengan mewujudkan peluang pekerjaan yang merupakan kesan ‘spill over’ secara langsung kepada industri sampingan. – PAHANGMEDIA