Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 15 MEI 2023 : Kerajaan Pahang menerusi Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang baru-baru ini telah meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Tarekat.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, RUU tersebut disokong sebulat suara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ketika ia dibacakan pada Sidang DUN berkenaan.
“Kerajaan Negeri Pahang menetapkan agar RUU ini diperkenalkan agar Tarekat boleh didaftarkan dan dibenar beroperasi.
“Dalam waktu yang sama, penelitian dan pembendungan sebarang ajaran sesat yang menggunakan nama Tarekat hendaklah diberi perhatian serius,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, pelaksanaan enakmen ini dapat memasyarakatkan amalan tarekat tasawuf dan tidak diamalkan secara sembunyi-sembunyi serta pengamal tarekat dan masyarakat akan dapat pendedahan tepat secara ilmiah tentang Tarekat Tasawuf.
“Enakmen ini juga dapat menyasarkan gerakan sifar sesat di negeri ini selain dapat mewujudkan organisasi kumpulan Tarekat yang bersistematik dan berorganisasi.
Tambahnya lagi, enakmen ini juga dapat membimbing dan mentarbiah pengamal Tarekat berdasarkan prinsip tasawuf yang murni di bawah seliaan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak, Jilsah al-Turuq al-Sufiyyah dan Pendaftar Tarekat.
“Semoga dengan pembentangan RUU terbaru ini dapat memperkasakan hal ehwal agama Islam serta membendung segala percanggahan syarak terhadap sebarang amal ibadat,” katanya. – PAHANGMEDIA