Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
PHNOM PENH, 14 MEI 2023 : Kerajaan Negeri melahirkan rasa bangga diatas kejayaan atlet taekwondo dari Pahang yang telah berjaya merangkul pingat gangsa dalam perlawanan Lelaki Bawah 58 kilogram pada Sukan Sea Ke-32 Cambodia.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Encik Fadzli Mohamad Kamal berkata kejayaan Fu Cern a/l Put Hai ini adalah hasil usaha bersama jurulatih taekwondo kebangsaan, Encik Syed Taufiq Syed Abdul Hamid.
“Saya bersama deligasi Pahang baru sahaja menyaksikan pertarungan Fu Cern dalam aksi separuh akhir di mana kita sempat melihat aksi beliau menumpaskan atlet dari Indonesia di peringkat suku akhir.
“Cuma pada peringkat separuh akhir saingannya amat hebat dan beliau tewas di peringkat separuh akhir. Walaubagaimana pun ia satu pertarungan yang hebat daripada atlet negeri Pahang ini yang dibimbing oleh jurulatih beliau,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan wang saku sumbangan Kerajaan Negeri Pahang melalui Majlis Sukan Pahang (MSP) di Chroy Changvar Convention Center Hall F di sini yang turut dihadiri Pengarah Majlis Sukan Pahang (MSP), Encik Zamri Hassan.
Beliau juga turut melahirkan harapan melihat atlet dari acara sukan yang sama untuk mendapat pingat emas pada hari esok.
“Kita doakan esok satu prospek emas dari taekwondo dan kita doakan jurulatih, Encik Taufik berjaya membawa emas seterusnya dalam suka taekwondo.
“Dan diharap Fu Cern selepas ini terus aktif dan bina kejayaan baharu selepas ini,” katanya. -PAHANGMEDIA