YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika hadir pada Majlis Ramah Mesra Dan Jamuan Hari Raya Aidilfitri di Dewan Terbuka Kampung Mela, di Lipis, hari ini.

SUMBANGAN KERAJAAN PAHANG RENTAS BATAS POLITIK – YAB MENTERI BESAR

Oleh : Fansurina Abdullah

LIPIS, 13 MEI 2023 : Pelbagai sumbangan yang diberikan oleh Kerajaan Pahang kepada rakyat membuktikan bahawa kerajaan negeri telus dalam menyantuni serta cakna terhadap keperluan rakyat merentasi batas politik.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, apa yang penting bantuan berkenaan sampai kepada rakyat tanpa mengira ideologi politik.

“Yang penting bantuan tersebut sampai kepada golongan sasar. Melihat kepada rekod tidak ada pun kawasan yang terabai.. Bantuan ini kita bagi kepada penduduk.

“Contoh ada anak-anak kita yang belajar di IPTA tak kira la anak siapa pun kita akan bagi bantuan rm300, yang masuk darjah satu kita bagi rm100.

“Kita tidak tanya apa latar belakang, apa fahaman politik daripada mana. Yang pentingnya tanggungjawab kita memberi bantuan kepada mereka, maknanya kita tidak pilih bulu, tidak pilih perbezaan politik yang penting bantuan sampai ke sasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas hadir pada Majlis Ramah Mesra Dan Jamuan Hari Raya Aidilfitri di Dewan Terbuka Kampung Mela, di Lipis, hari ini.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Lipis, YB. Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad, Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, YB. Dato’ Mustapa Haji Long dan ketua-ketua jabatan.

Jelasnya, pemberian bantuan kepada rakyat ini telah dilaksanakan sejak dahulu bertujuan membantu rakyat di dalam pelbagai aspek dan keperluan.

Pada majlis tersebut seramai 20 penerima telah mendapat sumbangan bernilai RM442,753.25 antaranya adalah RM137,700 bantuan bagi DUN Cheka, RM79,773.25 untuk meningkatkan capaian internet dan pendidikan digital di Sekolah Daerah Lipis 2023/2024 dan RM35,000 bagi menjalankan program kemasyarakatan Kelab Sukan Komuniti Pulau Tawar, Jerantut.

Majlis yang dihadiri hampir 3,000 penduduk itu telah mendapat kerjasama daripada pelbagai jabatan dan agensi antaranya ialah Pejabat Daerah dan Tanah Lipis, Majlis Daerah Lipis, PDRM Lipis, JKR, JAKOA dan sebagainya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram