SIDANG DUN : KERAJAAN PAHANG SERIUS LINDUNG HARIMAU MALAYA

Oleh : Shahrinnahar Latib
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 12 MEI 2023 : Penubuhan Pusat Konservasi Harimau Malaya (MTCC) Negeri Pahang di Lanchang, Temerloh seluas 80 hektar juga membuktikan Kerajaan Negeri Pahang begitu serius dalam melindungi Harimau Malaya ini.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pusat konservasi yang dibina dengan kos RM42.25 juta ini adalah selaras dengan Kempen Selamatkan Harimau Malaya (SHM) yang sedang digiatkan oleh kerajaan dan telah mula beroperasi pada 1 Februari 2022 yang lalu.

“Kita seharusnya berbangga kerana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang merupakan seorang putera raja yang begitu prihatin terhadap kepupusan habitat berharga ini,” katanya.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika sesi penggulungan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri terus komited dalam usaha pemuliharaan Harimau Malaya dengan mewartakan Rizab Harimau DiRaja Al-Sultan Abdullah seluas 134,183 hektar.

“Sebagai permulaan, pihak Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) telah melaksanakan pewartaan fasa pertama ke atas kawasan Hutan Tadahan Air dan Hutan Perlindungan Tanah di keseluruhan Hutan Simpan Gunung Aais dan Hutan Simpan Gunung Aais Tambahan seluas 92,649.33 hektar sebagai Hutan Perlindungan Hidupan Liar melalui Siar Warta bertarikh 4 Mei 2023. Manakala selebihnya pula, kita akan laksanakan menerusi fasa kedua,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram