Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Encik Fadzli Mohamad Kamal ketikamenjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang, YB. Encik Hasan Omar pada sesi Pertanyaan Lisan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ke-2 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di Kuantan, hari ini.

SIDANG DUN : KERAJAAN ANJUR PELBAGAI PROGRAM LATIH USAHAWAN MUDA

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 12 MEI 2023 : Kerajaan Pahang telah menganjurkan pelbagai program bagi melatih usahawan muda dalam bentuk kursus dan webinar yang bertujuan memberi ilmu keusahawanan terkini kepada mereka.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Encik Fadzli Mohamad Kamal berkata, pada tahun 2022, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang telah melaksanakan 10 siri program webinar dengan kerjasama Hub Usahawan Belia Negeri Pahang dan Majlis Belia Negeri Pahang.

“Pihak kerajaan juga berminat untuk mengadakan kerjasama dengan perkhidmatan e-hailing dalam usaha menambah baik mutu perkhidmatan serta kemudahan pekerjaan yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang, YB. Encik Hasan Omar pada sesi Pertanyaan Lisan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ke-2 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di Kuantan, hari ini.

Beliau berkata, pihak kerajaan percaya terhadap potensi golongan muda dalam mendepani situasi semasa dan kerajaan sedia memberikan kerjasama dan bantuan kepada jabatan dan agensi bagi pelaksanaan kursus jangka pendek untuk meningkatkan ilmu dan kemahiran mereka.

“Jabatan Pertanian Negeri Pahang mengunjurkan untuk melahirkan 3,025 usahawan pertanian dalam tempoh lima tahun, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Pahang juga menyasarkan 20 usahawan diwujudkan melalui Program Agropreneur Muda, Jabatan Perkhidmatan Negeri Pahang juga mensasarkan 10 usahawan akuakultur setiap tahun dan Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Pahang juga mewujudkan Program Agropreneur Muda (GAM) khusus kepada golongan belia,” jelasnya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram