Oleh : Shahrinnahar Latib
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 12 MEI 2023 : Kerajaan Pahang tidak pernah sesekali mengabaikan kebajikan rakyat termasuk di kawasan pembangkang dan sentiasa menyalurkan pelbagai bentuk sumbangan serta bantuan kepada rakyat negeri ini secara berterusan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bantuan dan sumbangan itu meliputi segenap lapisan masyarakat tanpa memilih bangsa, agama mahupun warna politik.
“Malah, di kawasan DUN Pembangkang, Kerajaan Pahang tetap salurkan bantuan ini, walaupun pengundi di kawasan tersebut tidak memilih kami pada Pilihanraya Umum (PRU) yang lalu kerana ini sudah menjadi tanggungjawab kami sebagai Kerajaan.
“Walaupun peruntukan tidak disalurkan terus kepada ADUN Pembangkang, tetapi bantuan-bantuan ini tetap sampai kepada rakyat yang disalurkan menerusi Menteri Besar sendiri, Exco Kerajaan Negeri, Penyelaras DUN serta Pejabat Daerah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Selain itu Dato’ Sri Haji Wan Rosdy merujuk kepada Projek Pembangunan RMK-12 Negeri Pahang bagi tahun ini, sebanyak RM118.5 juta diperuntukan di kawasan DUN Pembangkang untuk melaksanakan pelbagai bentuk pembangunan yang menggunakan peruntukan daripada Kerajaan negeri.
“Pendek kata asal ia menyentuh mengenai kebajikan rakyat kita akan salurkan dan kita akan usahakan untuk bantu.
“Bagaimanapun kepada Yang Berhormat di sebelah sana (ADUN Pembangkang), kalau perlukan apa-apa bantuan boleh sahaja berjumpa dengan saya. InsyaALLAh apa yang boleh saya bantu, saya akan bantu. Kita boleh bincang. Tapi kaedah itu mungkin berbeza,” katanya.