Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato' Sri Mohamad Najib ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, YB. Encik Mohd Sharim Haji Md Zain pada sesi Pertanyaan Lisan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.

SIDANG DUN : PAHANG TERIMA MANFAAT EKONOMI, TINGKAT NILAI PELABURAN SERTAI IMT-GT

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 12 MEI 2023 : Pahang bakal menerima pelbagai manfaat ekonomi bagi meningkatkan nilai pelaburan dan perdangan di negeri ini selepas menganggotai Kerjasama Serantau Indonesia-Malaysia-Thailand Growth Triangle (IMT-GT) sebagaimana negeri-negeri yang terlebih dahulu terlibat dengan kerjasama ini.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib berkata, IMT-GT ini diasaskan oleh lapan tiang utama iaitu kesalinghubungan pengangkutan, fasilitasi perdagangan dan pelaburan, pelancongan, pertanian dan asas tani, produk dan perkhidmatan halal, transformasi digital, pembangunan sumber manusia dan alam sekitar.

“Secara asasnya antara manfaat yang boleh diperolehi oleh Negeri Pahang apabila terlibat di dalam kerjasama serantau ini adalah akses kepada pasaran yang lebih luas dengan membuka peluang baru perdagangan dan pelaburan di Negeri Pahang sekaligus dapat memperluaskan pasaran mereka di rantau ASEAN ini.

“Kedua, dapat meningkatkan peluang perdagangan dengan membuka peluang baru untuk pelabur dan perniagaan di Negeri Pahang untuk menjalin hubungan perdagangan yang lebih erat dengan Indonesia dan Thailand.

“Sudah pastinya kesan berganda (multiplier effects) kepada ekonomi Negeri Pahang akan dirasai dengan pewujudan lebih banyak peluang pekerjaan dan industri-industri baharu yang berasaskan lapan tonggak utama IMT-GT,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, YB. Encik Mohd Sharim Haji Md Zain pada sesi Pertanyaan Lisan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.

Beliau berkata, Negeri Pahang juga akan dapat memperkukuhkan jaringan infrastruktur yang lebih baik untuk meningkatkan hubungan perdagangan dan pelaburan antara negara-negara terlibat termasuklah pembangunan jaringan lebuhraya, pelabuhan, lapangan terbang dan sebagainya.

Pahang juga dapat meningkatkan kemahiran tenaga kerja menerusi pelaksanaan program-program latihan dan pembangunan kemahiran akan disediakan bagi meningkatkan tenaga kerja dalam sektor-sektor berkaitan.

Seterusnya, jelasnya, Negeri Pahang juga dapat meningkatkan pelaburan asing langsung membabitkan Indonesia dan Thailand yang dapat meningkatkan ekonomi, menambah peluang pekerjaan dan meningkatkan kemajuan infrastruktur.

Negeri Pahang akan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Ekonomi dan rakan kongsi dalam IMT-GT bagi memastikan manfaat ini dapat diperoleh dengan sepenuhnya oleh rakyat Pahang. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram