Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff pada sesi penggulungan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ke-2 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di Kuantan, hari ini.

SIDANG DUN : JKR PAHANG TERIMA RM94.5 JUTA SELENGGARA JALAN PERSEKUTUAN SEHINGGA APRIL 2023

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 11 MEI 2023 : Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Pahang telah menerima sebanyak RM94.5 juta peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan bagi menyelenggara Jalan Persekutuan Tahun 2023 (sehingga 15 April 2023).

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, peruntukan Fasa 1 ini telah banyak membantu menyelesaikan masalah-masalah jalan yang didapati rosak paling kritikal dan mengganggu keselesaan pengguna jalan raya berkenaan yang boleh menyebabkan kerosakan harta benda, kemalangan dan kehilangan nyawa.

“Sebanyak 55 kerja sedang dan akan dilaksanakan di seluruh Negeri Pahang di antaranya kerja-kerja pembaikan ‘concrete pavement’ di jalan masuk ke kawasan perindustrian Semambu yang dijangka siap pada 3 Ogos 2023 dengan anggaran kos RM1.2 juta dan kerja-kerja pembaikan di Jalan Pintasan Gebeng secara Mill and Pave dijangka siap pada 31 Mei 2023 dengan anggaran kos RM1.579 juta.

“Kerja-kerja pembaikan di Jalan Kuantan – Pelabuhan secara Mill and Pave dengan anggaran kos RM1.1 juta yang dijangka siap pada 10 Julai 2023 dan kerja-kerja pembaikan di Jalan Jabor – Terengganu secara Mill and Pave dengan anggaran kos RM1.67 juta di mana kedua-dua kerja ini dijangka siap pada 31 Mei 2023 dan 10 Julai 2023,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ke-2 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di Kuantan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerja-kerja pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) telah melibatkan beberapa daerah di Pahang iaitu Kuantan, Maran, Temerloh dan Bentong yang kini mencapai 42.96 peratus kemajuan sehingga 30 April lalu dan menepati jadual pelaksanaan yang dijangka siap pada Disember 2026.

Bagi mengurangkan kesesakan lalulintas di Bandar Raya Kuantan, Kerajaan Pahang kini sedang melaksanakan kajian dan percubaan penggunaan Sistem Lampu Isyarat Pintar (Safe and smart city) dengan menetapkan sasaran pengurangan kesesakan lalulintas sebanyak 25 hingga 30 peratus di setiap persimpangan yang terlibat.

“Antaranya ialah di persimpangan lampu isyarat KotaSAS hingga Indera Mahkota, lampu isyarat JUPEM, Jalan Beserah hingga lampu isyarat Jalan Teluk Sisek dan persimpangan lampu isyarat Jalan Kuantan – Bypass iaitu persimpangan Semambu (Polisas) dan persimpangan Permatang Badak. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram