Oleh: Fairus Mohd
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 11 MEI 2023 : Kerajaan Negeri melalui Majlis Sukan Pahang sentiasa memberi perhatian kepada sebarang permohonan bagi keperluan infrastruktur dan pembangunan sukan di negeri ini.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Encik Fadzli Mohamad Kamal berkata, cadangan bagi membina infrastruktur sukan awam adalah di bawah seliaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Belia dan Sukan serta perancangan pejabat Daerah dan Tanah.
“Ini termasuk pertanyaan mengenai keperluan kompleks sukan awam di kawasan Sabai yang dibangkitkan di mana ia akan dinilai melalui keperluan, kesesuaian, penjagaan serta peruntukan kewangan dimiliki Kerajaan Negeri.
“Kita tidak mahu bina sebarang fasiliti yang tidak akan dijaga dengan baik dan terbiar selepas disediakan. Kita juga perlu menilai dengan baik keperluan sesuatu infrastruktur di mana-mana kawasan awam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Sabai, YB Encik V Arumugam A Veerappa Pillai berkenaan keperluan infrastruktur sukan awam pada sesi soal jawab sempena Mesyuarat Pertama Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Sementara itu beliau berkata keperluan pembinaan sebuah Kompleks Sukan di bahagian Pahang Barat terutama di daerah Bentong telah dimaklumkan dan menyenaraikannya dalam Rolling Plan keempat, Rancangan Malaysia Ke-12.
“Buat masa ini terdapat sebuah Kompleks Sukan Komuniti di Bentong yang telah dibina pada tahun 2008 bagi menampung keperluan aktiviti sukan bagi rakyat setempat,” katanya. – PAHANGMEDIA