YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

SIDANG DUN : PEMILIHAN PENERIMA RUMAH RAKYAT PAHANG BUKAN DIBUAT OLEH EXCO, WAKIL RAKYAT

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 10 MEI 2023 : Pemilihan penerima bagi Rumah Rakyat Pahang (RRP) di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah hasil keputusan yang dibuat oleh Pegawai Daerah serta ahli jawatankuasa yang lain dan bukannya Exco Kerajaan mahupun wakil rakyat di kawasan berkenaan.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pengerusi pemilihan untuk jawatankuasa bagi Rumah Rakyat Pahang adalah tuan Pegawai Daerah dan juga ahli-ahli jawatankuasa yang lain.

“Pemilihan Rumah Rakyat Pahang ini bukan Exco yang jadi pengerusi, bukan Exco perumahan atau wakil rakyat kawasan. Ianya dipengerusikan oleh tuan Pegawai Daerah yang ada hak untuk memilih siapa sahaja yang difikirkan layak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mencelah perbahasan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, YB. Encik Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin (PAS) berkenaan pemberian pemilihan penerima Rumah Rakyat Pahang di negeri ini pada sesi perbahasan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang hari ini.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri juga sentiasa mengingatkan Pegawai Daerah supaya membuat pilihan berdasarkan mereka yang memenuhi kelayakan.

“Kita juga selalu berpesan pastikan yang menerima itu benar-benar layak. Jangan yang tak layak dapat atau pun yang layak tak dapat. Sekarang ini saya dapati tak ada aduan sampai ke pengetahuan saya.

“Kita kena ingat 2019 setiap kawasan DUN cuma dapat dua buah rumah sahaja (Rumah Rakyat Pahang) kemudian naik kepada empat buah dan naik kepada enam buah, akhirnya kepada lapan buah,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram