Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 10 MEI 2023 : Kerajaan Pahang telah menerima sebanyak 3,277 permohonan bagi Skim I-PUSH yang diumumkan dalam Belanjawan Negeri Pahang 2022 dengan peruntukan Fasa Pertama sebanyak RM20 juta dan tambahan sebanyak RM10 juta pada 2023.
Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Tuan Ir Razali Kassim berkata, daripada jumlah itu seramai 3,020 pemohon dengan 92.16 peratus terdiri daripada kaum Melayu, 196 pemohon (6.0 peratus) India, manakala seramai 44 pemohon (1.34 peratus) Cina manakala lain-lain bangsa seramai 17 pemohon dengan 0.51 peratus.
“Bagi fasa pertama yang dilaksanakan pada tahun 2022, kelulusan pembiayaan yang telah diberikan kepada 751 orang melibatkan peruntukan berjumlah RM7.15 juta manakala baki peruntukan fasa pertama sebanyak RM12.85 juta tersebut akan diagihkan dalam fasa kedua pada tahun 2023 yang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM22.85 juta.
“Pentadbiran BPEN telah menerima permohonan melalui sistem atas talian SMU Pahang 2,415 permohonan dan kini dalam proses temuduga. Kelulusan dan penyaluran dana pembiayaan kepada pemohon yang berjaya fasa kedia akan diagihkan bermula April 2023 sehingga Mei 2023,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabai, YB. Encik V. Arumugam Veerappa Pillai pada sesi Pertanyaan Lisan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ke-2 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di Kuantan, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, Skim I-PUSH tidak pernah memperuntukkan kuota khusus bagi mana-mana daerah mahu pun kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen dan bangsa atau kaum. – PAHANGMEDIA