Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 10 MEI 2023 : Sebanyak RM6 juta telah diperuntukkan bagi melaksanakan projek pembangunan sosioekonomi untuk meningkatkan taraf sosioekonomi dan kualiti hidup masyarakat Orang Asli di seluruh negeri ini.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, terdapat beberapa projek yang dilaksanakan membabitkan Program Pembangunan Inftrastruktur dan Ameniti Sosial, Projek Bekalan Air, Projek Jalan Perhubungan, Projek Bantuan Rumah dan Program Pembangunan Usahawan.
Selain itu turut dilaksanakan Program Pembangunan Ekonomi, Program Pembangunan Modal Insan Orang Asli dan Program Naiktaraf Balai Rawatan Orang Asli.
“Kerajaan Negeri tidak membiarkan mereka (Orang Asli) begitu sahaja, usaha demi usaha telah dilaksanakan bagi memastikan masyarakat Orang Asli ini dapat dipertingkatkan kehidupan mereka, berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan kita semua kerana dia itu adalah manusia yang sama, mereka itu adalah sebahagian daripada bangsa dan keturunan yang sepatutnya kita bersama, saling membantu untuk kehidupan.
“Hasil daripada itu, Kerajaan Pahang telah memberi peruntukan kepada Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JAKOA) bagi mempertingkatkan prasarana dan kehidupan mereka, memudahkan bekalan air, memudahkan bekalan api (elektrik), memudahkan jalan, dewan, sekolah dan sebagainya untuk dibina di kawasan Orang Asli supaya mereka dapat diperhebatkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras, YB. Tengku Zulpuri Shah Raja Puji pada sesi Pertanyaan Lisan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.
JAKOA turut mengadakan kerjasama dengan pelbagai pihak termasuklah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), PERKESO dan insititusi dan pusat latihan seperti Kolej Komuniti, Giatmara, Institut Kemajuan Desa (Infra) dan Yayasan Pahang Advanced Skills bagi menyediakan peluang pekerjaan dan mengadakan kursus-kursus kemahiran yang dapat membangunkan masyarakat tersebut. – PAHANGMEDIA