Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 10 MEI 2023 : Kerajaan Pahang memperkenalkan empat langkah yang telah dirangka bagi memberi galakan kepada pengusaha penternakan ikan Patin sangkar di Sungai Pahang sepanjang tahun lalu.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak berkata, antara langkah-langkah yang dilaksanakan adalah Bantuan Sistem Penyampaian dan Khidmat Sokongan Akuakultur (SPEKS) berjumlah RM184,010.
Selain itu, Kerajaan Negeri turut menyediakan bantuan projek pembangunan integrasi kuakultur (PPIA) dengan agihan RM952,700 dan bantuan peruntukan pembangunan semula projek Agromakanan (PPSPA) kepada pengusaha akuakultur terjejas banjir (RM1,951,767).
Kesungguhan kerajaan menggalakkan para pengusaha ikan patin sangkar ini adalah bertujuan memastikan sektor tersebut dapat meneruskan kelangsungan penternakan ikan patin yang kini terkenal ke seluruh negara.
“Bilangan pengusaha ikan air tawar di Daerah Temerloh merangkumi dua parlimen pertama parlimen Temerloh dan Kuala Krau kesemuanya berjumlah 476 pengusaha, malahan kalau kita lihat bilangan sangkar yang terbabit adalah lebih kurang 4,600 sangkar yang terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang, YB. Encik Hasan Omar pada sesi Pertanyaan Lisan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ke-2 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di Kuantan, hari ini.
YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi berkata, langkah terakhir yang dilaksanakan adalah mengadakan kursus pemprosesan mempelbagai produk perikanan baharu seperti burger ikan, nugget ikan, sosej ikan dan lain-lain dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Pembangunan Malaysia (MARDI).
Beliau berkata, seramai 50 orang pengusaha atau penternak hadir melalui dua sesi kursus di Terengganu pada 2021 dan tahun yang melibatkan kos kira-kira RM50,000.00. – PAHANGMEDIA