YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jenderak, YB. Dato’ Rodzuan Zaaba pada sesi Pertanyaan Lisan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ke-2 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di Kuantan, hari ini.

SIDANG DUN : FI KELESTARIAN SUMBANG RM9 JUTA KUTIPAN HASIL

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 10 MEI 2023 : Fi kelestarian yang dikenakan oleh Kerajaan Pahang sebanyak RM3 bagi penginapan satu malam di hotel-hotel seluruh Pahang menyumbang hampir RM9 juta kepada kutipan hasil Kerajaan Pahang.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kutipan fi kelestarian tersebut mula diperkenalkan pada tahun lalu dan dilaksanakan di seluruh Pahang.

“Ekoran daripada cadangan tersebut, suka saya memaklumkan bahawa cadangan tersebut kita kenakan RM3 untuk satu malam bagi mereka yang menginap di hotel di Negeri Pahang dan ini sebenarnya telah meningkatkan hasil Kerajaan Negeri di mana pada tahun lepas hampir RM9 juta kita telah membuat kutipan apabila kita mengenakan cas ini.

“Cas ini adalah antara usaha di bawah kategori lain-lain hasil untuk meningkatkan hasil bagi Kerajaan Negeri bertujuan memasarkan semula pelancongan di Negeri Pahang dan dalam masa yang sama kita akan menggunakan kutipan ini untuk menambah baik kemudahan infrastruktur,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jenderak, YB. Dato’ Rodzuan Zaaba pada sesi Pertanyaan Lisan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ke-2 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di Kuantan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut memperincikan kutipan hasil negeri sehingga Disember 2022 yang mencecah RM1.288 bilion dengan kutipan hasil tanah merekodkan kutipan tertinggi dengan RM754.8 juta diikuti hutan (RM134.18 juta), air (RM23.85 juta), lain-lain hasil (RM284.15 juta) dan geran persekutuan (RM91.02 juta). – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram