Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, YB Tuan Sharim Md Zain ketika sesi perbahasan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.

SIDANG DUN : HASIL KERAJAAN NEGERI SANGAT SIGNIFIKAN DAN EFISYEN

Oleh: Fairus Mohd
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 9 MEI 2023 : Peningkatan hasil Kerajaan Negeri Pahang berada pada tahap yang sangat signifikan dan efisyen dalam semua sudut sekaligus mampu menyediakan kesejahteraan hidup kepada rakyat di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, YB Tuan Sharim Md Zain berkata, hasil yang diterima telah pun disalurkan dengan baik termasuk pelbagai inisiatif melalui Belanjawan 2023 dan antaranya adalah Bantuan Prihatin Pahang (BPP).

“Peruntukan sebanyak RM 42.4 juta, sudah pasti satu angka yang besar dalam memastikan golongan sasaran dengan pecahan kluster rakyat di Negeri Pahang ini mendapat manfaatnya.

“Saya juga melihat usaha Kerajaan Negeri membantu golongan keluarga yang tidak berkemampuan untuk memiliki rumah, dengan membantu mereka menyediakan sebuah rumah yang sempurna melalui skim RRP yang diberikan secara percuma.

“Kejayaan pentadbiran Kerajaan Negeri, di bawah kepimpinan YAB Menteri Besar Pahang juga telah berjaya menerima sebanyak tujuh buah projek pelaburan antarabangsa, dengan jumlah nilai pelaburan sebanyak RM 11 billion,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Dalam pada itu beliau turut menyampaikan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pahang, Jabatan Perhutanan, agensi-agensi dan NGO yang terlibat dalam usaha pemuliharaan Kawasan Rezab Biosfera Tasik Chini dengan aktiviti penanaman pokok hutan.

“Usaha ini sangat bertepatan dalam menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang di mana dalam titah baginda yang sangat serius mementingkan kelestarian alam sekitar.

“Saya menyokong penuh Titah Diraja agar Majlis Penasihat Orang Asli ditubuhkan sebagai platform bagi pembangunan Orang Asli pada masa akan datang sekaligus menjadi usaha dalam memperkasakan komuniti dan masyarakat Orang Asli di Dun Chini secara khususnya dan Negeri Pahang secara amnya,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram