Oleh: Fairus Mohd
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 9 MEI 2023 : Peruntukan buat ADUN dari parti pembangkang boleh diberikan jika keadaan kewangan negeri terus berada dalam keadaan yang baik, kata YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau berkata, hal berkenaan (peruntukan) tidak perlu menjadi perkara berulang dibangkitkan kerana Pahang adalah negeri yang ‘melayan’ pembangkang dengan baik sejak sebelum ini lagi.
“Kerajaan Negeri Pahang telah pun memberi peruntukan sebanyak RM5,000 pada ADUN Pembangkang sebelum raya (sepanjang Ramadan). Kita pun pernah berkawan, kita tak payah panjang-panjang… InsyaAllah kita menjunjung titah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika memberi penjelasan terhadap isu peruntukan kepada ADUN pembangkang yang ditimbulkan oleh ADUN Jengka, YB Tuan Shahril Azman Ab Halim dan turut mendapat sokongan daripada YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man pada sesi perbahasan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini. – PAHANGMEDIA