Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 09 MEI 2023 : Kerajaan Negeri Pahang telah memohon peruntukan sebanyak RM20 juta bagi pelaksanaan pembinaan Kompleks Sukan Mini Lipis dalam Rolling Plan Ketiga (RP3) Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12).
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Encik Fadzli Mohamad Kamal berkata projek ini juga telah disenaraikan sebagai antara keutamaan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang.
“Bagi memenuhi keperluan semasa, pihak Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang (JBS) bersama Kementerian Belia dan Sukan Malaysia telah membuat lawatan tapak ke Padang Tembak, Tempoyang bagi meninjau tapak cadangan pembinaan Kompleks Sukan Mini Lipis pada tahun lalu, dan telah menyenaraikan projek ini sebagai antara keutamaan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang.
“Justeru, permohonan peruntukan sebanyak RM20 juta bagi pelaksanaan projek ini dalam Rolling Plan Ketiga (RP3) Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) telah diangkat untuk tindakan lanjut pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS)
“Kerajaan Negeri telah dimaklumkan bahawa permohonan pembinaan projek ini telah dihantar kepada pihak Unit Perancang Ekonomi untuk dipertimbangkan bagi kelulusan peruntukan. Sehingga kini, pihak KBS sedang menunggu keputusan daripada pihak Unit Perancang Ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, YB. Dato’ Mustapa Haji Long berkenaan perancangan untuk membina sebuah pusat aktiviti belia seperti kompleks rakan muda atau kompleks sukan di Daerah Lipis semasa Pertanyaan Lisan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang hari ini.
Beliau berkata pihak JBS juga telah mengambil maklum berkenaan dengan kekurangan fasiliti sukan di daerah Lipis bagi kegunaan awam.
“Setakat ini, daerah Lipis memiliki Kem Wawasan Negara yang bertempat di Jalan Kuala Lipis-Padang Tengku bagi pelaksanaan program-program pembangunan anak muda dan belia termasuk yang melibatkan kursus-kursus dan latihan kemahiran serta sahsiah.
“Selain itu, daerah Lipis juga mempunyai Institut Pendidikan Guru (IPG) yang mempunyai kemudahan sukan yang serba lengkap untuk pelaksanaan program-program sukan dan pembangunan belia,” katanya.
Menurut beliau lagi, Majlis Sukan Pahang juga bercadang untuk menghantar Ketua Jurulatih bagi memantau secara berkala prestasi atlet di Pusat Latihan RPS Betau, Lipis.
“Terdapat seramai 28 orang atlet keseluruhan iaitu 25 orang wanita dan tiga orang lelaki. Kesemua atlet berlatih di bawah kendalian dua orang jurulatih sambilan yang dilantik dan dipantau oleh Majlis Sukan Pahang.
“Sementara itu bagi sukan bola sepak, terdapat satu program iaitu Pusat Latihan Daerah Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan (NFDP) telah diwujudkan di SMK Clifford, Kuala Lipis.
“Terdapat seramai 100 orang atlet lelaki melibatkan peringkat umur 13 tahun hingga 17 tahun, di bawah kendalian empat orang jurulatih sambilan dan turut dipantau oleh Ketua Jurulatih Negeri iaitu Encik Mohd Juzaili Samion secara berkala. Pusat ini menggunakan fasiliti sedia ada di SMK Clifford termasuk penginapan di asrama sekolah tersebut,” katanya. – PAHANGMEDIA