Oleh: Fairus Mohd
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 9 MEI 2023 : Tindakan ADUN Pulau Manis, YB Tuan Mohammad Rafik Khan Ahmad Khan daripada PAS yang menimbulkan kenyataan bahawa Kerajaan Negeri perlu bersikap ‘gentleman’ dan adil kepada pihak pembangkang mendapat reaksi bertentangan dari ADUN Kemayan, YB Tuan Khaizulnizam Mohd Zuldin.
Menurut YB Tuan Khairulnizam, ia tidak seharusnya menjadi pertikaian kerana pihak pembangkang tahu ‘sikap sebenar’ pihak kerajaan terutamanya keadilan yang diamalkan Menteri Besar Pahang.
“Bagi saya kalau nak bercakap pasal adil, adakah YB dari pembangkang bagitahu kepada rakyat bahawa pemberian, sumbangan, bantuan selama ini datang daripada Kerajaan BN? Lihat pada penggal dulu ketika PAS berada bersama BN ada menerima peruntukan, adakah PAS menyatakan kepada rakyat ini daripada BN pernah ke? Boleh skrol semula media sosial kita, berapa kali kita ucap terima kasih kepada Menteri Besar?
“Sebab itu bila kita bercakap pasal adil, kita jangan hanya adil kepada diri sendiri sahaja. Kita kena adil kepada semua perkara dan letak sesuatu itu di tempat yang betul.
“YB Pembangkang perlu lebih harmoni dan perlu memberi kredit dan ucapan terima kasih kepada YAB Menteri Besar Pahang di atas segala yang dilakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Sebelum itu, ADUN Pulau Manis menyifatkan pihak pembangkang kini terpaksa ‘berlawan dalam keadaan tangan kaki diikat, mata dan mulut ditutup’ serta tidak diberi keadilan. – PAHANGMEDIA