Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato' Sri Johari Harun ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, YB. Encik Su Keong Siong berkenaan status terkini draf Rancangan Daerah Tempatan Bentong (RTD) dan Rancangan Kawasan Khas (RKK) Janda Baik ketika Pertanyaan Lisan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang hari ini.

SIDANG DUN : KERAJAAN PAHANG TELITI LAKSANA RKK JANDA BAIK

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 09 MEI 2023 : Kerajaan Pahang sedang meneliti secara terperinci bagi meneruskan pelaksanaan Rancangan Kawasan Khas (RKK) Janda Baik yang ketika ini ditangguhkan buat sementara waktu.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Johari Harun berkata, penangguhan ini dibuat sementara waktu bagi memberi peluang kepada Kerajaan Negeri untuk meneliti secara terperinci serta membuat penyelarasan-penyelarasan penting bersama jabatan teknikal yang terlibat.

“Selain itu, untuk pengetahuan Yang Berhormat, Rancangan Tempatan Daerah Bentong (RTD) 2035 ketika ini dalam proses mendapatkan nombor warta bagi diwartakan dan dikuatkuasakan di daerah Bentong,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, YB. Encik Su Keong Siong berkenaan status terkini draf Rancangan Daerah Tempatan Bentong (RTD) dan Rancangan Kawasan Khas (RKK) Janda Baik ketika Pertanyaan Lisan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang hari ini.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri Pahang juga tidak mempunyai perancangan untuk membatalkan kedua-dua rancangan ini.

“Namun begitu, saya ingin menyatakan di sini bahawa setiap perancangan yang ingin dibangunkan di Negeri Pahang akan diteliti secara terperinci dan mengambil kira kepentingan seluruh masyarakat setempat dan memastikan sesuatu pembangunan tersebut dapat memberi impak positif kepada masyarakat dan negeri Pahang,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram