Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 09 MEI 2023 : Kerajaan Negeri Pahang tidak mengabaikan 168 guru tidak tetap yang bertugas di Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN).
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata Kerajaan Negeri memandang serius dalam menguruskan Sekolah Agama ini daripada pelbagai sudut.
“Sehingga kini, jumlah guru tidak tetap adalah Guru Bantuan Amanah Saham Pahang seramai 93 orang; Guru MUIP (31 Orang); Guru PIBG (5 Orang); Guru Sekolah (39 Orang) berjumlah 168 orang. Kerajaan Negeri sememangnya serius dalam menguruskan Sekolah-sekolah Agama ini dalam pelbagai sudut.
“Kita di SMAN mempunyai guru berstatus tidak tetap seramai 168 orang. Mereka ini dibantu oleh Kerajaan Negeri Pahang melalui ASPA (Amanah Saham Pahang) dan MUIP (Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang), bahkan pihak sekolah dan PIBG (Persatuan Ihu Bapa dan Guru) juga membantu guru-guru ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Ibam, YB. Encik Nazri Ahmad berkenaan jumlah terkini guru berstatus tidak tetap di Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) dan apakah usaha Kerajaan Negeri agar mereka diserap ke jawatan guru tetap semasa Pertanyaan Lisan Mesyuarat Pertama Penggal Ke-2 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang hari ini.
Tambah beliau lagi, bagi memastikan perjawatan para guru ini untuk menjadi guru bertaraf tetap, Kerajaan Pahang telah meminta pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mewujudkan jawatan baharu.
“Pertama sekali Kerajaan Negeri Pahang meminta perjawatan baru dari pihak JPA diwujud dan ditambah jumlah. Seandai perjawatan ini mendapat persetujuan JPA, guru-guru boleh memohon untuk mendapatkannya.
“Guru- guru ini boleh memohon perjawatan tetap bagi mengisi kekosongan sedia ada melalui SPA Pahang secara online begitu juga dengan Jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG41 secara Contract Of Service,” katanya. – PAHANGMEDIA