Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 8 MEI 2023 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melancarkan ‘Coffee Table Book’ Dewan Negeri Pahang : Memacu Legasi Perlembagaan di Hotel Zenith di sini hari ini.
Turut mengiringi baginda ialah YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Indera Haji Zulkifli Haji Yaacob dan Yang di-Pertua Dewan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsuddin.
Buku tersebut merangkumi pelbagai aspek berkaitan Dewan Negeri Pahang termasuklah sejarah, kehalusan adat-istiadat dewan, peranan dalam pengurusan negeri dan kepentingannya dalam landskap politik Malaysia.
Ia juga merangkumi pengenalan mengenai salasilah keluarga Diraja Pahang dan sejarah ringkas Negeri Pahang disertai dengan koleksi foto yang mengagumkan dari awal penubuhan Dewan Negeri Pahang.
Buku ini juga merupakan penerbitan istimewa yang memberi gambaran terperinci tentang sejarah Pahang sebelum dan selepas kemerdekaan Malaysia.
Bersesuaian dengan tajuk Memacu Legasi Perlembagaan, buku ini mendokumentasikan kemajuan Negeri Pahang berteraskan kebijaksanaan Sultan dan khidmat bakti belasan generasi Ahli Dewan Negeri berlandaskan Perlembagaan Malaysia.
Buku ini telah diterajui oleh mantan Yang di-Pertua Dewan Negeri Pahang, YH. Dato’ Sri Haji Ishak Haji Muhamad dan diterbitkan oleh Bahagian Dewan Undangan Negeri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang.
Projek penghasilan buku ini telah dimulakan pada November 2021 dengan memaparkan hasil penyelidikan selama setahun melibatkan pengumpulan maklumat daripada pelbagai pihak dan telah disiapkan secara rasmi pada awal 2023. – PAHANGMEDIA