Oleh : Fairus Mohd
LIPIS, 1 MEI 2023 : Barisan Nasional (BN) akan mengadakan perbincangan bersama Pakatan Harapan (PH) bagi menentukan pembahagian kerusi yang ideal bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka berlangsung pada Julai atau awal Ogos tahun ini.
Presiden UMNO, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, soal pembahagian kerusi itu juga bukan atas rasa kesaksamaan, tetapi kebolehmenangan calon yang bakal dipilih terutamanya dalam menepati citarasa pengundi.
Menurutnya, apa boleh dilakukan oleh parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan ialah mengadakan perbincangan antara BN dan PH dahulu sebelum hasil diperingkat negeri yang telah dimuktamadkan akan dibawa di peringkat nasional.
“Pengerusi gabungan parti komponen BN dan PH akan meneliti hasil perundingan yang dilakukan bersama presiden-presiden parti komponen di dalam BN dan PH.
“Maka kita tidak akan buat keputusan tergopoh-gopoh kerana ini bukan hanya soal kemenangan sahaja tapi soal penerimaan para pengundi dan likeability iaitu seseorang calon yang disukai dan sesuai dengan citarasa pengundi di kawasan-kawasan berkenaan.
“Lagipun kita mempunyai masa yang agak panjang iaitu sehingga bulan Julai atau awal Ogos untuk kita menghadapi kempen (PRN) secara rasmi.
Tindakan tidak tergopoh-gopoh diambil bagi memastikan calon-calon yang dipilih mampu beri kemenangan dalam PRN nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang di Laman Sejahtera Jelai, Felda Sungai Koyan, di sini.
Turut hadir Naib Presiden UMNO yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Timbalan Speaker Dewan Rakyat yang juga Ahli Parlimen Cameron Highlands, YB Dato’ Ramli Mohd Noor serta barisan kepimpinan UMNO di peringkat pusat dan negeri.
Dalam pada itu, YB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid menyatakan bahawa UMNO mampu menyumbang kemenangan hasil pengalaman beberapa PRN lalu.
“Pengalaman PRN di Melaka dan Johor, BN mengemukakan hampir 80 peratus muka baharu, jadi kita amat komited untuk terus meremajakan UMNO dan BN. Kita bagi peluang kepada pelapis untuk berada di persada kepimpinan negeri melalui pemilihan calon-calon nanti,” katanya. – PAHANGMEDIA