Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 26 APRIL 2023 : Projek tebatan dan baik pulih hakisan pantai sepanjang 17 kilometer di Kampung Tanjung Batu, Pekan telah dilaksanakan semula bermula 28 Mac lepas.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebar, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, projek ini telah pun diluluskan pada 2017 namun dihentikan pada 2018 selepas pertukaran kerajaan.
“Projek Tebatan dan Baikpulih Hakisan Pantai bermula dari Kampung Tanjung Batu merangkumi 17 kilometer kawasan pantai berpasir iaitu dari muara Sungai Tering sehingga ke muara Sungai Bebar di Nenasi kini telah dilaksanakan semula seperti yang dijanjikan sebelum ini.
“Kawasan ini berhadapan Laut China Selatan dan terdedah kepada ombak besar terutamanya musim Monsun Timur Laut. Sebahagian besar pantai disini terhakis. Projek ini menelan belanja hampir RM58.5 juta. Ia mula dilaksanakan pada 28 Mac 2023 baru ini dan dijangka siap dalam masa 3 tahun,” katanya.
Jelasnya lagi, projek ini sebenarnya telah diluluskan Perdana Menteri Ke-6, Dato’ Sri Najib Tun Razak pada tahun 2017 namun ia terhenti selepas pertukaran kerajaan 2018.
“Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Hj Wan Rosdy bin Wan Ismail yang sentiasa berusaha dan berperanan bagi memastikan projek ini dapat dilaksanakan semula.
“YAB Menteri besar telah memohon semula ke pihak Kementerian dan ke pangkuan YAB Perdana Menteri sendiri dan hari ini ia telah menjadi kenyataan.
“Terima kasih juga Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Semoga usaha ini dipermudahkan Allah SWT demi rakyat Pekan dan negeri Pahang. InshaAllah,” katanya. – PAHANGMEDIA